Saya cukup marah dengan blogger Bakri Musa. Kerana itu pada minggu ini tidak
ada kawan-kawan datang ke bilik saya. Mereka tahu saya sedang marah. Ketika
saya marah saya kentut. Ini tanda kemarahan yang saya pelajari dari Syed
Syeikh Adamiyah yang menjadi guru saya ketika saya tinggal di Baghdad. Ini
sebenarnya ilmu Melayu asli yang telah juga digunakan oleh Pak Pandir
setelah dia mencuri daging salai Mak Andeh.
Saya marah dengan Bakri Musa seorang penulis blog yang menulis dari Amerika.
Lalu saya kentut. Si Mamat ini menulis dalam keadaan selamat. Dia selamat
kerana ada gadis cun dari Colombia yang menjadi pembantu rumahnya di Los
Angles. Dia juga selamat kerana dia tidak pernah diganggu gugat oleh DBKL
yang selalu menjadi Mat Skodeng. Bayangkan jika si Bakri ini tinggal di
Kampung Kerinchi pasti puluhan kali DBKL datang ke biliknya untuk meminta
surat nikah.
Si Bakri ini aksen sikit kerana saya pernah mendengar khabar yang tidak
sahih bahawa dia pernah menjadi tamu Brad Pitt ketika pelancaran filem 50
Years - The Adventure of Terbilang Gemilang. Filem patriotik lagi touristik
arahan dan lakonan Brad Pitt ini akan muncul di panggung-panggung wayang di
seluruh dunia pada 30 Februari yang akan datang. Untuk menonton filem ini
kita semua wajib bersabar. Tapi ini satu cerita yang lain.
Tidak. Saya bukan marah kerana si Bakri tinggal di LA. Atau kerana dia
berkawan baik dengan Brad Pitt. Atau kerana pembantu rumahnya Minah cun dari
Colombia. Saya juga tidak jaki kerana dia pernah belajar di Malay College
Kuala Kangsar dan kini menjadi bomoh di Amerika. Ini semua saya tidak ambil
pot.
Saya marah kerana dia menghina kucing saya. Saya tuan empunya lima ekor
kucing menjadi begitu marah sekali kerana masyarakat kucing-kucing dihina.
Itu sebab saya kentut. Menggelegak darah di kepala. Berpinar mata saya bila
saya membaca tulisan si Bakri Musa yang menyamakan Me No Speaking Inglis dan
600 Taxi Man sebagai KUCING KURAP (sic). Kucing-kucing kurap inilah yang
menjadikan saya terkentut-kentut panas baran.
Kucing kurap! Ini betul-betul satu penghinaan terhadap semua kaum keluarga
kucing-kucing dalam dunia ini. Si Bakri Musa ini pada anggapan saya sudah
keterlaluan. Dia telah melintasi tatasusila Melayu. Apakah si Bakri ini
masih Melayu lagi ? Mana pegangan akidahnya? Saya tidak nampak nilai-nilai
Bumiputera/Melayu/Islam yang cuba diajukan oleh si blogger anti kucing ini.
Tulisan si Bakri ini membuktikan bahawa ramai warga kita yang belajar dan
dididik di luar negara telah termakan racun Barat. Blogger-blogger seperti
Bakri Musa ini telah berjaya menanggalkan tempurung Melayunya Mereka telah
berani membesarkan kemaluan negara, agama dan bangsa mereka.
Sikap anti kucing si Bakri ini telah membuktikan yang dia telah meninggalkan
nilai-nilai murni orang Timur. Dia tidak memiliki nilai-nilai untuk
menghormati masyarakat kucing. Begitu celopar sekali dia menyamakan
kucing-kucing dengan Me No Speaking Inglis dan 600 Taxi Man. Tidak kah dia
sedar bahawa si kucing adalah makhluk yang mulia. Kenapa samakan Me No
Speaking Inglis dan 600 Taxi Man dengan kucing? Sahih seribu kali sahih , si
Mamat ini telah dipengaruhi oleh para Orientalis.
Kira punya kira saya lagi bertambah marah tetapi bercampur sedikit sedih.
Lalu kentut saya berkurangan. Saya merasa sedih kerana kucing-kucing yang
berkurap ini tidak mungkin akan berani sampai ke LA untuk membuat blog.
Kucing-kucing yang berkurap ini tidak akan berani bangun menyaman Bakri
Musa. Hendak menyaman macam mana, kucing-kucing yang berkurap ini tidak
pandai bercakap Orang Putih. Saya sedih kerana masyarakat kucing tidak akan
menjawab segala macam tohmahan dan fitnah dari si blogger Bakri Musa.
Justeru, saya sebagai umat pencinta kucing terpanggil untuk bangun
menyatakan rasa marah saya kepada penulis blog yang bernama Bakri Musa. Saya
menuduh sesiapa sahaja yang menyamakan Me No Speaking Inglis dan 600 Taxi
Man dengan kucing kurap sebagai pengkhianat negara. Menggunakan bidalan
kucing kurap ini amat berbahaya terhadap kestabilan politik berbilang bangsa
di negara kita. Semua ini menjadikan saya marah dan terkentut.
Tidak kah para blogger sedar, perbandingan kucing kurap dengan Me No
Speaking Inglis dan 600 Taxi Man boleh menggoncang kestabilan dan
keselamatan negara. Ia juga boleh merosakkan akidah. Perbandingan ini
seolah-olah sama dengan pandangan Islam liberal yang sedang mengancam ummah.
Apakah si Bakri ini tidak mengetahui wujudnya hadis yang meriwayatkan - jika
jumpa unta dan jumpa kucing, rebus tahi unta dahulu. Pandangan liberal yang
menghina kucing ini jika tidak dikawal ianya akan menggugat akidah ummah.
Menggunakan perbandingan kucing rasa saya ini adalah satu perbuatan dayus
lagi hina. Dengan ini, saya rasa telah sampai masanya di tubuhkan Cat
Liberation Together (CLIT). Badan Clit ini ditubuhkan khusus untuk
mempertahankan maruah kucing-kucing kurap yang telah dihina dan di tohmah
oleh para blogger. Saya juga merasakan telah sampai masanya Clit memulakan
tindakan undang-undang terhadap para blogger yang anti kucing ini.
Adakah rasional dan masuk akal untuk menyamakan kucing-kucing kurap dengan
Me No Speaking Inglis dan 600 Taxi Man? Inilah persoalan utama yang akan
terus ditimbulkan oleh Clit. Garis perjuangan Clit ialah untuk membela semua
masyarakat kucing-kucing kurap yang telah dihina oleh para blogger seperti
Bakri Musa.
Memang betul kadang-kadang kucing itu terkena kurap. Bila kena kurap maka
bulunya akan gugur. Dia tergaru-garu dan tercakar-cakar. Tetapi ini hanya
berlaku kepada kucing-kucing di zaman dahulu kala. Kucing terkena kurap pada
zaman sebelum merdeka. Sekarang telah wujud hospital kucing, klinik kucing
dan telah ada kedai-kedai khusus untuk kucing. Tidak ada lagi kucing-kucing
yang berkurap. Clit akan menuntut metafora kucing kurap ini wajib
dihapuskan. Period. Clit tutup.
Mari pula kita meneropong Me No Speaking Inglis dan 600 Taxi Man , apakah
kita berlaku adil jika kita samakan mereka dengan kucing kurap? Untuk saya
penyamaan ini tidak adil terhadap kucing. Kucing adalah makhluk suci.
Makhluk yang disayangi nabi. Malah di Mesir Kuno kucing ditempatkan di
rumah-rumah suci. Jika kita bersifat insaniah yang jujur pasti kita tidak
akan berani menyamakan kucing kurap untuk makhluk berdua ini.
Malah, jika dikaji secara ilmiah dengan penuh keilmuan yang saintifik; kita
akan mendapati bahawa Me No Speaking Inglis dan 600 Taxi Man ini belum
sampai ke tahap janin untuk di terima sebagai makhluk. Mereka masih lagi di
tahap hidra dan ameba. Mereka masih lagi di tahap ‘low life’.
Jika kita bandingkan hidra dan ameba yang ‘low-life’ ini maka
akan jelas kelihatan kucing-kucing walau pun berkurap tetapi masih memiliki
sifat akliah yang lebih insaniah.
Sebelum saya terus marah dan kentut, saya ingin memberi ingatan kepada para
blogger. Hentikan tohmah dan fitnah terhadap kucing-kucing kurap. Wahai para
blogger berwaspadalah kamu. Jangan kamu ingat kebebasan menulis di blog itu
tidak ada hadnya. Jangan kamu menuduh semberono. Jangan salah gunakan
kebebasan ini. Tulislah di blog kamu tentang kesah anak dan isteri kamu.
Wahai para blogger insaflah, dirikanlah blog sebelum kamu di bloggerkan.
Opps…. baru nak berhenti kentut opps .. apa? Saya menulis ini tentang
kucing kurap atau tentang beruk kurap? Atau perlu ditubuhkan juga Liberation
Front For Beruk Awakening (LIBRA). Wahai sang-sang beruk, berberuk-beruklah
kamu sebelum kamu diberukkan. END

9 comments
Comments feed for this article
Julai 31, 2007 pada 1:04 am
Malik El-Shabaaz a/k/a Malcolm X
tapi bila aku tgk rosmah aku punya la marah sampai tercirit-cirit pretttt pretttt
Julai 31, 2007 pada 2:45 am
University Update - Brad Pitt - BILA SAYA MARAH SAYA KENTUT - Hishamuddin Rais
[...] Efron Contact the Webmaster Link to Article brad pitt BILA SAYA MARAH SAYA KENTUT - Hishamuddin Rais » Posted at Amin Iskandar [...]
Julai 31, 2007 pada 3:34 am
bamboo river
Nasib baik gua tak makan petai dan durian hari itu!
Julai 31, 2007 pada 4:21 pm
kadetpencen
Hi every one!
My apologies for and out-of-topic message: but webtv8 at http://wtv8.tv/v1/ had a one-on-one with Raja Petra ealier today (31.07.07) and is now screening the first part under ‘now showing’; watch it on the main screen.
Ogos 1, 2007 pada 1:55 am
sloone
HAHAHAHA! boleh-kahsaya jadi ahli clit? saya bukan kucing, tapi saya amat sayang kucing, esp.; kucing kurapn
Ogos 1, 2007 pada 3:32 am
man
syabas, cham. bentuk penceritaan/persembahan anda menarik dan melucukan. Siapa yang makan cabai burung dia lah yang tersipu malu.man@hotmail .com
Ogos 1, 2007 pada 7:07 am
AJEM KU
HMMMM….MEMANG LAIN DARI YANG LAIN LAAA…MEMANG NAIK SANTAU SAPA YANG TERASA…HAHAA…TAMBAH LAGI DAN JGN LUPA SEND KAT EMAIL SAYA OKKKK…
Ogos 1, 2007 pada 9:31 am
Pembebel
Ekeke. Aku kentut bau durian skang ni. Haha. Pak Lah kentut bau ape?
Februari 28, 2008 pada 7:58 am
farah hana
saya sokong umno pas balik tidur la