Cuba anda baca berita dibawah dan fikir apa persamaan diantara Pak Lah dan George Bush?
Bush puji kepimpinan Abdullah
WASHINGTON 31 Ogos – Presiden George W. Bush menyifatkan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai satu tenaga yang sangat konstruktif bagi Asia Tenggara.
Malaysia adalah satu contoh menarik mengenai bagaimana sebuah masyarakat bebas boleh menangani gerakan-gerakan yang dipercayai boleh menukar dan meminda sifat masyarakat bebas itu.
“Saya menghormati cara Perdana Menteri menggunakan kebebasan dan menggunakan keterbukaan masyarakat untuk menangani mereka yang kecewa.
“Maksud saya, semua masyarakat mempunyai orang yang kecewa, dan persoalannya ialah sama ada cara mereka meluahkan kekecewaan itu akan membawa kepada keganasan atau membawa kepada keamanan,” kata Presiden itu dalam satu pertemuan meja bulat yang jarang diadakan dengan sekumpulan wartawan dari Asia Pasifik yang turut dihadiri Bernama.
“Malaysia adalah satu contoh sebuah negara di mana kekecewaan disalurkan melalui cara yang positif,” katanya mengulas mengenai kepimpinan Abdullah dalam menangani estremisme dan keganasan di negaranya.
“Saya menghormati Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad) Badawi, mengagumi kepimpinannya,” kata Bush yang telah mengadakan pertemuan dengan Abdullah di White House pada 2004.
Abdullah menyokong kesederhanaan dan menganjurkan Islam Hadhari di Malaysia dan ke mana juga beliau pergi.
Keakraban antara kedua-dua pemimpin terserlah apabila presiden itu berkata: “Apabila isteri beliau (Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood) meninggal dunia, saya cuba menghubunginya awal untuk menyatakan keprihatinan saya terhadap beliau.”
Apabila diberitahu bahawa Abdullah telah berkahwin lain, Bush seolah-olah terperanjat lalu bertanya: “Ia ke? Baguslah tu. Saya ucapkan tahniah kepada beliau. Terima kasih kerana memberitahu saya berita ini.
“Saya akan ucapkan tahniah kepada beliau. Ini sungguh baik.”
Apabila diberitahu oleh seorang pembantunya bahawa beliau telah pun menghantar perutusan tahniah, Bush ketawa kerana terlupa mengenainya dan berkata: “Ia. Saya akan mengucapkan tahniah sekali lagi kepada beliau. Biarlah saya ucap tahniah dua kali.”
Beliau kemudian mengakui bahawa beliau terlupa mengenai perkara itu dan bertanya kepada pembantunya sama ada beliau telah menelefon Abdullah atau menghantar perutusan tahniah kepadanya. Beliau diberitahu bahawa beliau telah menghantar perutusan tahniah.
“Betul tu, ya. (Saya juga) telah mengirim sejambak bunga,” kata Bush.
Presiden itu mengucapkan tahniah kepada Malaysia sempena ulang tahun kemerdekaannya yang ke-50 hari ini, dan berkata beliau berharap dapat meneruskan perbincangan bermakna berhubung perjanjian perdagangan bebas dua hala dengan Malaysia, yang merupakan rakan perdagangan ke-10 terbesar Amerika Syarikat.
Kedua-dua negara kini sedang merundingkan satu perjanjian perdagangan bebas. Perbincangan itu bagaimanapun mencapai kebuntuan berkaitan soal-soal perkhidmatan kewangan, harta intelek, dasar persaingan, pemerolehan kerajaan dan buruh.
– Bernama
Jumpa tak apa persamaan diantara mereka?









Komen Terkini