Terima kasih kepada Roslan SMS kerana perasan dengan isu kenaikkan harga tol pada Januari depan yang telah digelapkan beritanya oleh media arus perdana dengan kes Nurin Jazlin, Isu Burma dan banyak lagi. Sila klik disini. Bila fikir soal kenaikkan harga tol, kepala jadi lebih sakit apabila terkenangkan implikasi yang akan berlaku selepas kenaikkan harga tol iaitu kenaikan harga barang secara mendadak.
Bila harga barang naik secara mendadak, kerajaan pun akan berlakonlah untuk mengenakan tindakan kepada peniaga. Pengguna yang menjadi mangsa. Peniaga tak boleh disalahkan seratus peratus sebab mereka menanggung kenaikan harga kos. Yang lebih menyedihkan lagi apabila melihatkan bahawa pengguna dan rakyat Malaysia langsung tidak mempunyai kuasa untuk menentukan turun naik harga barang.
Pengguna langsung tidak pernah dipedulikan oleh kerajaan dan peniaga oleh kerana semuanya tahu bahawa rakyat Malaysia sangat pasif dan langsung tidak boleh melakukan apa-apa. Malahan majoriti rakyat Malaysia langsung tidak kisah dan hanya menurut sahaja. Kalau ada yang marah pun mereka hanya mampu merungut. Cuma segelintir sahaja rakyat Malaysia yang berani turun berdemonstrasi di jalanraya. Syabas diucapkan kepada golongan ini kerana menjadi rakyat yang berani.









Komen Terkini