PLASTIK DAN KAYU- Hishamuddin Rais

17 10 2007

Saya telah menulis tentang plastik dan melihat  bagaimana dunia kita hari ini sedang di tenggelami oleh plastik.  Plastik adalah sebahagian dari  produk sampingan  hasil dari bahan bakar petroleum. Petroleum adalah bahan tenaga yang tidak boleh diganti sesudah diguna pakai. Empat puluh tahun dahulu plastik telah wujud tetapi bukan seperti hari ini.

Jika sesiapa yang pernah melihat filem The Graduate  yang di buat pada tahun 1967 pasti akan teringat satu babak di mana  Dustin Hoffman yang baru saja menerima ijazah telah dinasihatkan oleh Pak Ciknya untuk memasuki bidang perniagaan plastik. Industri plastik pada tahun enam puluhan dahulu baru saja muncul dan berkembang.

Empat puluh tahun dahulu kewujudan plastik tidaklah semeriah  hari ini. Ketika saya membesar  di Jelebu,  saya masih ingat lagi barang-barang yang kami  beli dari kedai dibungkus dengan kertas. Malah kalau ke pasar  membeli sayur, daging atau ikan – pembungkusnya ialah daun.  Apabila arwah emak saya ke pasar kami tidak akan lupa membawa kerpai atau beg jinjit yang dibuat dari kain di mana sayuran yang kami beli akan di masukkan ke dalam kerpai.

Hari ini perkataan kerpai telah tidak kedengaran lagi. Konsep ke pasar dengan kerpai/beg telah tidak wujud. Apa yang wujud hanyalah beg plastik dan bungkusan plastik.

Ketika saya menulis ini saya berada di Tokyo. Saya bukan pakar dalam budaya Jepun atau politik Jepun. Tetapi dalam hal plastik ini saya memiliki kesedaran  tentang pembaziran khazanah bumi.  Saya perhatikan hampir kesemua barang-barang  yang saya beli dalam kota ini di bungkus dengan plastik. Bukan di bungkus sekali tetapi dua tiga empat kali. Kotaknya plastik, yang dibungkus sekali lagi dengan plastik dan dibawa ke rumah  dalam beg plastik.

Ketika saya tinggal dalam kota London pada tahun 90’an dahulu, anak-anak muda kota London telah memulakan kesedaran untuk menolak plastik. Kami di galakkan membawa beg kami sendiri apabila ke pasar raya atau ke kedai membeli makanan. Malah hari saya telah membaca berita tentang beberapa  bandar dan kota di Britain yang mengharamkan  penggunaan beg plastik.  Pembeli diminta membawa bakul atau beg sendiri.

Di Tokyo ini, dari pemerhatian saya kesedaran menentang penggunaan plastik ini amat minimum. Semua jenis air botol, bukan hanya cola tetapi teh dan kopi juga dijual dalam botol plastik. Bahan-bahan makanan segar - ikan , daging,  taufu, sayur dan  buah-buahan semuanya dialas dan dibungkus berulang-ulang kali dengan plastik.

Saya tinggal seorang dalam bilik. Setiap hari saya menggunakan hampir 500 gram plastik. Ini penggunaan plastik yang agak minimum. Cawan dalam bilik hotel saya  sentiasa dibersihkan dan sesudah itu ia akan di bungkus dengan plastik. Berus , ubat gigi dan pisau cukur saya berganti saban hari. Semuanya dibungkus dengan plastik.

Jika saya warga kota Tokyo dan memasak di rumah ada kemungkinan  plastik yang akan saya buang mencecah satu kilo sehari. Cuba hitungkan dalam  kota 30 juta lebih manusia ini, berapa tan agaknya plastik yang dibuang setiap hari. Ke mana bahan-bahan plastik ini dibuangkan?  Tidak mungkin dibakar kerana ia toksik. Tidak mungkin ditanam kerana ia memiliki nyawa beratus juta tahun.

Kadang-kadang ketika duduk di cafe bersendirian  saya  termenung memikirkan jika dikumpulkan semua  botol-botol plastik yang telah kita semua  digunakan mungkin botol-botol ini telah boleh menutup seluruh bumi kita ini. Atau jika botol-botol plastik ini kita jadikan tangga, ada kemungkinan tangga ini boleh sampai ke bulan dan kita tidak perlu naik roket untuk ke sana.

Pada tahun 1974 dahulu saya telah pernah sampai ke Tokyo. Ketika itu saya masih muda. Kesedaran ekologi saya agak mentah. Walau pun muda dan mentah saya agak terperanjat kerana apabila kami makan di restoran atau membeli ‘bento’ ( nasi bungkus) kami diberikan chop stick/ sepit kayu.  Sesudah digunakan  penyepit kayu ini terus dibuang.

Saya bertanya kepada kawan Jepun saya kenapa ini dilakukan. Kenapa tidak menggunakan kayu sepit yang boleh diulang pakai. Jawapan yang diberikan ialah – kos membasuh lebih mahal dari kos kayu  yang akan dibuang.

Budaya membuang sepit kayu yang telah digunakan ini telah menular juga ke negara kita walau pun tidak semeriah di kota Tokyo. Saya rasa budaya membuang sepit kayu yang telah digunakan ini adalah satu jenayah ekologi. Ia patut dilawan.

Saya terfikir jika saya tinggal dua bulan dalam kota ini berapa banyak sepit kayu yang telah saya buang? Berapa batang pokok yang telah ditebang untuk saya gunakan sebagai penyepit. Satu hari saya menggunakan minimum tiga kali penyepit kayu – minum pagi, makan tengah hari dan makan malam. Mungkin dengan kayu-kayu ini saya telah boleh mendirikan sebuah rumah.

Cuba hitungkan, 130 juta penduduk Jepun yang menggunakan 3 kali penyepit kayu dalam sehari.  Semua sepit kayu ini akan dibuang satelah digunakan. Berapa hektar pokok-pokok yang telah ditebang untuk membuat penyepit kayu ini. Berapa juta tan  kayu kayan yang  telah di import oleh Jepun. Semua bahan-bahan kayu ini diimport dari negara-negara dunia ketiga. Berapa banyak hutan di Sabah dan Serawak yang lupus hanya kerana ingin memastikan  warga Jepun dilengkapi dengan penyepit kayu?

Mungkin ada yang berhujah tentang konsep kebersihan. Saya akui kita semua wajib bersih. Tetapi kebersihan juga wajib dilihat secara menyeluruh. Hutan dan kayu kayan  adalah alat pembersih udara. Tanpa hutan dan pokok  oksigen tidak mungkin wujud. Jika hutan di Sabah dan Serawak telah gondol kita semua akan mati kerana kekurangan oksigen.

Kalau ada sesiapa yang  dibesarkan dalam pekan-pekan kecil seperti di Kuala Klawang;  pekan kampung saya di Jelebu pasti akan  ingat bagaimana restoran China menggunakan penyepit yang dibuat dari buluh.  Penyepit buluh  akan dibasuh dan akan diulang guna. Malah hingga ke hari ini jika kita merayau-rayau ke pekan-pekan kecil di Malaysia, kita  akan bertemu lagi dengan penyepit buluh ini. Penyepit buluh ini mungkin dilihat ‘kampung’ tetapi pada hakikatnya ia  memiliki kesedaran ekologi yang lebih tinggi.

Pada hari ini semakin banyak restoran, warung dan kedai makan Cina dalam negara kita yang menggunakan penyepit yang dibuat dari plastik -   cantik , boleh dibasuh dan diulang pakai.  Sebelum sepit plastik ini diguna pakai kita celupkan dahulu ke dalam air panas. Ini untuk saya adalah penggunaan plastik positif dan memiliki nilai kebersihan.

Di Tokyo ini saya juga masuk makan ke restoran Korea.  Saya perhatikan restoran Korea menggunakan sepit yang dibuat dari  stainless steel. Ini samalah konsepnya dengan sudu dan garpu yang  kita gunakan. Bahan ini tahan lama dan boleh digunakan hingga ke anak cucu. Justeru, saya menolak konsep – kos membasuh – yang dianggap lebih mahal berbanding dengan konsep pakai dan buang.

Saya agak marah dengan sikap Jepun dalam hal penggunaan sepit kayu. Ini kerana Jepun menjaga dengan teliti hutan belantara mereka. Mereka sedar tentang perlunya hutan dijaga tetapi mereka tidak ambil pot jika hutan-hutan di Sabah atau Serawak yang digondolkan. Ini adalah sikap ekologi  juling yang lahir dari sikap nasionalisme sempit.

Hingga ke minggu ini saya masih belum bertemu kedai Korea di mana saya  dapat membeli chop stick yang dibuat dari stainless steel. Rasa saya nasionalisme sempit Jepun  yang memandang hina terhadap Korea patut dilawan. Kita anak semua bangsa, sebagai  warga dunia  wajib berani belajar dari sesiapa sahaja. Tidak malu untuk menerima yang baik dari negara yang satu ketika dahulu pernah kita jajah.


Tindakan

Informasi

5 gerakbalas-gerakbalas kepada “PLASTIK DAN KAYU- Hishamuddin Rais”

17 10 2007
amir (12:04:29) :

Salam bro,

Saya setuju tang plastik ni bro, ianya satu ancaman senyap yang tidak diketahui orangramai. Malah di sebuah negara europe, indisposable waste cam plastik ni kini menimbulkan masalah yang amat ketara sekali - lampin buang pakai, kini tertimbun membukit tinggi!

On another note, Jepun telah mengeluarkan satu teknoloji baru untuk recycle these indisposable waste - depa telah buat satu incinerator yang enviromental friendly (kata depalah) dan yang dapat convert the enegry produced into electricity. If you have the chance, check it out. Cek pun nak tahu lebih dokek lagi hal incinerator tu.

17 10 2007
khairulnizambakeri (16:58:46) :

And they say Japanese are alert with the environmental problem…

19 10 2007
bamboo river (01:58:01) :

Kita sedang megambil apa yang di tinggal kan oleh negara barat.
Plastik telah menjadi satu masalah pelupusan yang telah pun di sedari oleh negara barat lebih kurang 10 tahun yang lalu.
Sekarang kaca dan aluminium merupakan bahan pembungkusan yang di galak kan oleh negara barat.
Sesiapa yang membeli barangan yang di bungkus dengan plastik akan di kenakan bayaran “disposable fee”.
Sekarang teknologi baru yalah “biodegrable plastic” yang mungkin lebih mahal tetapi kos akan di serap kepada pengguna2.

19 10 2007
mbelgedez (11:45:07) :

Sorry, just Blogwalking
It’s nice Blog….

http://mbelgedez.wordpress.com/2007/10/07/96/

19 10 2007
raduan (14:08:20) :

Tahun tujuhpuluhan dulu peneroka Felda pernah dibekalkan dgn benih ubikayu plastik.sehebat mana kelebihan plastik yang di buat dari ubikayu tidaklah saya tahu sebab masa tu saya masih sekolah rendah lagi.

Tinggalkan komen

Anda boleh menggunakan tag ini : <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>