You are currently browsing the monthly archive for Mac, 2008.
Khir Toyo yang kini sudah menjadi penulis blog menyatakan kesediaannya untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno dalam pemilihan Umno pada bulan Disember ini.
Pada tahun 2004, Hishamuddin Tun Hussein yang terpilih semula untuk jawatan Ketua Pemuda menyatakan bahawa itu adalah penggal terakhirnya.
Jika Hishamuddin benar-benar melepaskan jawatannya, Khir Toyo akan berhadapan dengan menantu Pak Lah.

Pertempuran ini akan menjadi satu pertempuran yang hebat. Siapakah yang akan terpelanting?
Bekas MB Selangor atau menantu PM?
Sila baca laporan Malaysiakini mengenai kesediaan Khir Toyo bertanding untuk jawatan Ketua Pemuda Umno disini.
Hari ini genaplah satu tahun usia blog Amin Iskandar@Black. Terima kasih diatas sokongan yang diberikan oleh pembaca, pengkomen dan rakan-rakan sekalian.
Tidak lupa juga kepada teman-teman seperjuangan, Gerilawan Siber seperti Laman Marhaen, Tranungkite, Malaysia Today, KL Pos, Penarik Beca, Kickdefella, Republik Kata, Pembebel dan ramai lagi yang menyokong perjuangan blog Amin Iskandar@ Black.
Tanpa sokongan yang anda semua berikan, tidak mungkin blog ini dapat terus bertahan.
Semoga kita akan terus bersama-sama berjuang bagi memastikan keadilan sosial tertegak di Bumi Malaysia ini.
Salam,
Amin Iskandar@Black.
Sebelum ini Rosol Wahid membantah keras perlantikkan Ahmad Said sebagai MB Terengganu dan lantang menyatakan bahawa mereka berada di belakang Idris Jusoh.
Sekarang lain pula ceritanya. Rosol Wahid mewakili 23 Adun BN di Terengganu menyatakan sokongan diatas perlantikkan Ahmad Said. Klik disini.
Lucu… lucu….
Dimana prinsipnya? Dimana maruah Rosol Wahid dan 23 orang Adun tersebut?
Ditulis oleh Malcom
Hari ini heboh apabila kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan yang baru menegaskan ingin meneruskan polisi Dasar Setinggan Sifar. Kenyataan ini dikecam dengan begitu hebat. Antaranya Dr. Nasir, JERIT, sahabat – sahabat didalam perjuangan dan para pejuang rakyat.
Saya akan membicarakan dari dua sudut yang senantiasa menjadi isu besar. Robohnya rumah setinggan atas desakan pemaju yang rakus atau robohnya rumahnya setinggan kerana ingin meningkatkan kualiti hidup mereka. Dua persoalan yang harus dirungkaikan dengan baik. Saya bukan penulis yang bagus tapi berharap anda semua pembaca yang bijaksana faham akan maksud saya dan diakhir nanti saya berharap saudara bahaskan dengan baik.
Khir Toyo, bekas MB Selangor memang terkenal dengan slogan “sifarnya”. Selain setinggan sifar, beliau juga berkempen untuk “pembangkang sifar” di negeri Selangor. Lihatlah apa yang terjadi kepada beliau? Hilang negeri yang dipimpin dan letak jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor.
Berikutan dengan pengumuman MB baru Selangor untuk meneruskan dasar “Setinggan Sifar” ciptaan Khir Toyo, Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) memberi reaksi mereka.
JERIT mengemukakan beberapa tuntutan kepada kerajaan negeri. Diantara tuntutan mereka:
“Membatalkan dasar setinggan sifar dan menggantikannya dengan Dasar Perumahan Rakyat untuk Semua bagi menyediakan kemudahan perumahan dan tanpa niat memaksa pengusiran”. (JERIT)
Sila klik disini untuk membaca tuntutan penuh JERIT.
JERIT mengakhiri kenyataan mereka dengan slogan,
“Jangan Khianati Peneroka Bandar ! Hak Peneroka Bandar Harus Dibela!”
Sehingga kini, hanya Dr. Nasir sahaja yang telah mengeluarkan kenyataan untuk tidak berkompromi dengan dasar ini. Klik disini.
Masih belum kedengaran dari yang lain-lain.
Dimanakah suara aktivis-aktivis lain yang terpilih sebagai Adun atau Ahli Parlimen?
Apakah mereka sudah terlupa dengan nasib dan penderitaan rakyat yang selama ini mereka perjuangkan?
Menurut satu sumber yang menghadiri mesyuarat MT Umno sebentar tadi, beberapa keputusan disepakati. Diantaranya ialah:
- Ahmad Said diterima sebagai MB Terengganu.
- Hukuman yang dikenakan terhadap Astaman berakhir.
- Pemilihan Parti diteruskan:
a) Mesyuarat cawangan pada bulan April.
b) Mesyuarat bahagian pada bulan Oktober.
c) Pemilihan Parti pada bulan Disember.
Mengejutkan. Tetapi itulah kenyataan yang dikeluarkan oleh MB baru Selangor, Khalid Ibrahim. Sila klik disini. Berita ini bukan dilaporkan oleh media arus perdana tetapi dilaporkan oleh laman web alternatif terkemuka, Malaysiakini.

Selain daripada itu, MB Selangor tersebut turut menyatakan bahawa “pengisytiharan harta” perlu mendapat persetujuan Exco terlebih dahulu diatas alasan ada Exco yang tidak mahu mengisytiharkan harta diatas sebab keluarga. Ini juga boleh dilihat dalam temubual eksklusif diantara Malaysiakini dengan Khalid Ibrahim.
Apa pandangan anda?
- Haruskah kerajaan baru Selangor meneruskan “Dasar Setinggan Sifar” yang menindas penduduk-penduduk miskin dinegeri Selangor?
- Pemaju yang harus diberi keutamaan atau rakyat negeri Selangor?
- Apakah langkah tidak mengisytiharkan harta boleh menjamin ketelusan dan kebersihan kerajaan negeri?
Setelah berminggu-minggu krisis perlantikkan MB Terengganu diantara Istana dan Umno, Abdullah Badawi akhirnya akur dengan perlantikkan Ahmad Said yang dibuat oleh Sultan Terengganu. Sila klik disini untuk membaca berita dari Malaysiakini.
Gelaran “Datuk ” Idris Jusoh, Rosol Wahid dan Din Adam ditarik balik oleh Istana Terengganu. Pernarikan gelaran “Datuk” ini berkuat kuasa serta merta. Sila klik disini.
Sultan Terengganu yang juga Yang Dipertuan Agong marah dengan Idris Jusoh, Rosol Wahid dan Din Adam kerana bersikap “kurang ajar”. “Kami nak Derih natang!” begitulah yang tertulis disepanduk ketika Umno Terengganu berdemonstrasi menuntut jawatan MB diberi kepada Idris di Istana Terengganu.
Penggunaan istilah “Natang” yang bermaksud Binatang dalam loghat Terengganu ini telah menimbulkan kemarahan rakyat Terengganu kerana dikatakan menghina Institusi Raja. Laporan polis telah dibuat mengenai isu ini.
Semua orang tahu, Idris Jusoh, Rosol Wahid dan Din Adam bermati-matian untuk mempertahankan Patrick Lim dan kekayaan Terengganu yang mereka rompak untuk kepentingan Pak Lah dan menantu.
Rakyat Malaysia tidak akan melupakan insiden Batu Burok yang menyaksikan Idris Jusoh menggunakan polis untuk menembak dua orang rakyat yang tidak bersalah.
Saya mohon maaf kepada semua pembaca blog ini. Dahulu saya pernah berjanji untuk berhenti mengeluarkan kenyataan mengenai anak menantu Pak Lah, Khairy Jamaluddin. Tapi apakan daya, anak menantu yang bernaung dibawah ketiak bapa mertuanya masih angkuh walaupun parti yang didokongnya semakin parah dengan krisis dalaman yang tidak sudah – sudah.
Khairy Jamaluddin,

Ya, saya sedang menulis mengenai anda. Tentu anda bangga bukan. Ya lah, nama anda sedang diperkatakan oleh saya yang kerdil jika mahu dibandingkan dengan anda yang sudah pun bergelar YB. Tapi kenapa ya saya masih mengata anda. Kenapa ya? Oh ya, sebab anda masih angkuh. Mari sini baca artikel ini. Saya mahu menyedarkan anda supaya berpijak kepada dunia nyata.
Lupakah anda satu ketika dahulu anda pernah berkata golongan muda sudah mula mengalihkan sokongan kepada Umno. Dengan bangganya anda sewaktu perhimpunan agung Umno sebelum PRU 12 dijalankan menayangkan video bagaimana sengsaranya Umno ketika gerakan REFORMASI dilancarkan pada tahun 1998. Anak muda pada waktu itu langsung tidak mahu menyokong Umno dan akhirnya menyebabkan Terengganu dirampas oleh PAS, Kedah nyaris tumbang di tangan PAS, beberapa kawasan kubu kuat Umno nyaris tumbang kepada PAS dan KeADILan waktu iu. Tapi, pada tahun 2004 Umno kembali berkuasa dengan begitu selesa. Nah dengan segera anda claim orang muda mula mengalihkan sokongan Umno. Persembahan video yang anda reka itu menunjukkan bagaimana orang muda mula megah memegang bendera dacing. Tapi kan YB Khairy, ye ke orang muda mula beralih arah? Kalau beralih arah, masakan 4 negeri tumbang di tangan Barisan Rakyat.
Lupakah anda dengan kempen “18 Tahun Pade Doh” yang kononnya rakyat Kelantan sudah muak dengan PAS. Tapikan Khairy, dahlah Kelantan anda tak dapat rampas, negeri kelahiran bapa mertua anda pula yang terlepas ke tangan Barisan Rakyat. Haishhh, kesian. Saya tahu anda begitu yakin Kelantan akan jatuh ke tangan Barang Naik (BN) sebab itulah anda telah membeli Kuari di Kelantan tapi kesian kuari pergi mana Penang pun entah ke mana.
Lupakah anda wahai Khairy Jamaluddin ketika pilihanraya kecil di Ijok, anda dengan garang (konon) tampil dengan slogan “SEDIA GEMPUR, PKR TERKUBUR”. Ya anda menang ketika waktu itu (mahu tak menang semua jentera kerajaan diulangi jentera kerajaan bukan jentera parti sahaja tumpu kat sana). Tapikan Khairy, ermm PRU 12 Ijok dapat dekat siapa ya. Siapa nama dia…Tan Sri Khalid Ibrahim kan?
Lupakah anda Khairy Jamaluddin, ketika Ijok berjaya dimenangi oleh BN anda dengan muka macam Khaipanzi mengatakan pengaruh Anwar Ibrahim telah terkubur. Ermm terkubur ek. Kalau terkubur tak ada lah sampai 4 negeri tumbang dan kerusi di parlimen di Kuala Lumpur BN hanya mampu pertahankan satu sahaja.
Lupakah anda Khairy Jamaluddin, ketika Pengerusi Umno Negeri Selangor yang baru yang kaki rasuah mula membuat langkah menyerang para bloggers anda selamba beruknya mengatakan blogger – blogger ini macam monyet. Tapikan bapa mertua kamu yang negerinya tergadai pun telah mengaku para blogger lah yang memainkan peranan yang paling aktif dalam melaporkan perkara sebenar yang akhirnya ermm jangan marah saya nak sebut. Sampai majoriti 2/3 BN tak dapat.
Lupakah anda Khairy Jamaluddin, kerana terlalu yakin rakyat akan menyokong anda kerana hanya berdasarkan keputusan pilihanraya kecil di Pengkalan Pasir, Machap dan di Ijok. Tapi YB Khairy, jangan lupa pula dengan kemenangan anda di Rembau. Dengan gaya gangster, dengan gaya angkuh dan terlalu yakin menang anda telah dikejutkan dengan langkah pahlawan anak muda yang tidak sekaya anda. Nak saya ingatkan siapakah gerangan anak muda tersebut. BADRUL HISHAM aka Chegu Bard. Gelombang yang dicetuskan oleh beliau telah menyebabkan anda pada kiraan undi awal telah tewas sebanyak 800 undi lebih dan ya lah anak menantu mana boleh anak menantu kalah maka anda telah mengarahkan pihak SPR menghalau orang – orang PKR keluar dari dewan dan 3 buah kenderaan pacuan 4 roda masuk ke dewan dan dengan segera anda menang dengan majoriti 5 ribu lebih. Ermm tahun 2004 Parlimen Rembau, BN menang 18 ribu lebih tapi tahun ini 5 ribu lebih sahaja. Jadi jangan bongkak ya. Apa maknanya? Orang Umno Rembau sendiri benci kepada anda inikan pula rakyat Rembau yang tidak berparti.
Jadi buat Khairy Jamaluddin, sudah – sudahlah mengeluarkan kenyataan untuk mengecam tindakan kerajaan BR di Kedah kerana memberikan tiket percuma untuk rakyatnya. Anda tak serik lagi ke? Anda ingat Ustaz Azizan itu bodoh ke? Tak usah nak ingatkan dia mengenai jumlah wang yang perlu dibayar kepada FAM tahulah lelaki berumur itu jalankan tanggungjawab dia sebagai pemimpin. Bukan macam kamu, konon pertahankan Melayu. Tapi Umno Terengganu panggil Sultan Terengganu binatang, tak ada pula tindakan selanjutnya. Kalau nak jadi pemimpin, tegaslah. Kalau betul nak bela Melayu, pergi tangkap Derih and The Gang. Jangan tunjuk jaguh tapi bila Sultan Terengganu (Daulat Tuanku! Patik hormat Tuanku) kena hina diam menikus takut, bacul dan penipu. Konon bela Melayu.
Jadi Khairy Jamaluddin, cukuplah, nasihatilah ayahanda mertua kamu untuk letak jawatan dan anda pergilah jaga butik anda di Pavillion yang bernama TENC (The Emperor New Clothes). Jangan sibuk – sibuk lagi dengan politik.
SEBAB BAGI KAMI ANDA TIDAK LAYAK MENJADI PEMIMPIN.
Sila rujuk Bahagian Pertama disini.
Khairy yang lama membisu setelah menjadi punca BN hilang 2/3 majoriti di parlimen akhirnya bersuara. Beliau yang telah menjadi liabiliti kepada Umno/BN menyerang kerajaan negeri Kedah. Klik disini.
Mungkin dia terlupa kempen “Pade Doh” untuk menjatuhkan kerajaan PAS Kelantan bukan sahaja gagal malahan menyebabkan Selangor, Pulau Pinang, Perak dan Kedah jatuh ketangan pakatan pembangkang.
Tak serik-serik ke dia?
Disiarkan di Malaysiakini pada 19 Mac 2008.
Tinjauan yang dibuat di beberapa buah negeri sewaktu kempen pilihanraya umum lalu, menyaksikan “jentera BN” tidak bergerak seperti sediakala. Di Selangor, Terengganu dan Kelantan, kempen BN tidak sehebat pilihanraya umum 2004.
Rakan-rakan di Kedah, Pahang, Perak dan Melaka menyuarakan ”kerisauan” mereka mengenai perihal jentera BN itu. Bilik gerakan BN dikatakan kosong dan pekerja parti tidak banyak kelihatan.
Macam-macam teori dikeluarkan dalam menganalisis strategi Umno dan BN. Ada yang mengatakan jentera BN tidak bergerak kerena tempoh kempen kali ini agak panjang (13 hari). Malahan, ada yang berfikir bahawa BN telah membuat strategi baru yang tidak disedari pakatan pembangkang. Ramai juga yang percaya ketua bahagian Umno “menahan” peruntukan kerana mahu menggunakannya untuk pemilihan agung Umno yang bakal menjelang.
Kemaskini: Ahmad Said dipecat dari Umno. (Malaysiakini)
Majlis Angkat Sumpah MB Terengganu ditangguh lagi. (Malaysiakini)
Sebelum ini apabila Lim Kit Siang menyuruh Adun-adun DAP Perak memboikot majlis angkat sumpah Nizar Jamaluddin sebagai MB Perak, Umno melenting. Mereka marah dan mengatakan Kit Siang cuba mencabar status quo orang Melayu. Demonstrasi dilakukan dibeberapa buah negeri seperti di Penang dan Selangor.
Lihat apa terjadi sekarang? Apabila Sultan Terengganu tidak mahu melantik Idris Jusoh sebagai MB, semua Adun-adun Umno mahu memboikot majlis angkat sumpah Ahmad Said sebagai MB Terengganu. Sila lihat berita dari Malaysiakini disini.
Umno juga akan mengambil tindakan disiplin dan menanggung akibat jika mengangkat sumpah sebagai MB. Klik disini. Jadi retorik yang mengatakan Umno mahu mempertahankan institusi Raja dan orang-orang Melayu adalah penipuan semata-mata.
Umno sekarang menentang Sultan Terengganu yang juga Yang Dipertuan Agong Malaysia.
Abdullah mahukan Idris Jusoh menjadi MB Terengganu agar Patrik Lim a.k.a Patrick Badawi boleh terus merompak harta dan kekayaan negeri Terengganu. Bila Patrick Lim kaya, maka dana untuk Pak Lah dan menantu juga akan terus stabil.
Tak percaya lagi Umno menipu Melayu?
Rakyat Malaysia dalam pilihan raya ke 12 telah memilih ABU – Asalkan Bukan Umno/Anyone But Umno.
Ada masalah ke? Apa masalahnya?
Apa masalah DAP menubuhkan pentadbiran baru di Pulau Pinang? Apa hal jadi kalut apabila PKR akan menubuhkan kerajaan baru di Selangor? Apa halnya bila DAP mendapat undi terbanyak di Perak dan menubuhkan pentadbiran baru? Kedah dan Kelantan di bawah PAS ada problem? Apa problemnya?
Keputusan rasmi Pilihanraya Presiden 2008 telah diumumkan. Ma Ying Jeou dari Parti Kuomintang (KMT) terpilih menjadi presiden baru Taiwan menewaskan calon dari Parti Demokratik Progressif (DPP), Frank Hsieh.

Ma, sebelah kiri bersama Timbalan Presiden Taiwan
Ma mendapat 58.45 peratus undi berbanding dengan Frank yang hanya mendapat 42.55 peratus undi.
Kedua-dua pungutan suara yang ditawarkan oleh KMT dan DPP gagal apabila peratusan pengundi yang mengambil bahagian berada dibawah 50 peratus.
Syarat untuk pungutan suara dikira ialah pengundi yang mengambil bahagian mestilah mencapai lebih daripada 50 peratus.

Pegundi menunggu giliran untuk mengundi
Pilihanraya berlangsung dengan aman dan lancar. Sebelum pusat mengundi dibuka pada pukul lapan pagi, sudah ramai yang beratur untuk menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih Presiden baru.

Tiga kotak undi, satu untuk undi presiden, dua lagi untuk pengutan suara
Sistem pengiraan undi di Taiwan memang cepat dan pantas. Sejurus selepas pusat mengundi ditutup pada pukul empat petang, pengiraan terus dimulakan. Pemantau, agen parti dan orang awam dibenarkan untuk menyaksikan proses itu. Menjelang pukul 5 petang, pengiraan Berjaya disiapkan tanpa ada sebarang bantahan.

Pengiraan undi selesai menjelang pukul 5 petang
Pukul 6 petang keputusan rasmi Pilihanraya Presiden Taiwan 2008 telah diumumkan ke seluruh negara.

Mercun dibakar merayakan kemenangan Ma Ying Jeou
Penulis kini berada di Taiwan sebagai seorang pemantau pilihanraya antarabangsa dari Asian Network for Free Election (ANFREL) bagi menyaksikan perjalanan Pilihanraya Presiden Taiwan 2008.
Tinggal lagi beberapa jam sebelum rakyat Taiwan menentukan nasib dan halatuju mereka. Esok bersamaan dengan 22 Mac 2008, rakyat Taiwan akan memilih siapa yang akan menjadi Presiden dan Timbalan Presiden mereka.
Hanya dua parti politik utama yang akan mengambil bahagian dalam pilihanraya presiden kali ini. Parti Kuomintang (KMT) dan Parti Demokratik Progressif (DPP) bersaing hebat untuk memastikan calon-calon mereka terpilih bagi memimpin Taiwan untuk lima tahun yang akan datang.

Penyandang jawatan Presiden dan Timbalan Presiden membantu kempen DPP di daerah Taoyuan.
Ma Ying Jeou mewakili KMT manakala Frank Hsieh mewakili DPP dalam persaingan untuk menjadi presiden Taiwan. Apa yang menariknya dalam pilihanraya presiden kali ini, rakyat Taiwan akan turut mengambil bahagian didalam dua pungutan suara (referendum).
Dua pungutan suara yang akan diadakan bersama-sama pilihanraya presiden kali ini adalah bertujuan untuk mengambil pendapat rakyat tentang masa depan Taiwan diperingkat antarabangsa.
KMT mencadangkan agar Taiwan kembali menyertai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dengan nama Republik China (Republic of China) manakala DPP mencadangkan agar Taiwan menyertai PBB sebagai sebuah negera merdeka dengan menggunakan nama Taiwan. Oleh yang demikian, dua pungutan suara diadakan bagi memastikan rakyat terlibat secara langsung dalam menentukan halatuju Taiwan.

Bendera PBB diarak oleh penyokong DPP sebagai simbol kempen untuk menyertai PBB
Ini adalah kerana, kedua-dua calon presiden tersebut mempunyai definisi yang berbeza mengenai identiti nasional. Bagi Frank Hseih, Taiwan adalah sebuah negara berdaulat yang telah memenuhi kriteria sebagai sebuah negara merdeka walaupun secara rasmi ianya digelar Republik China (ROC).
Menurutnya, peperangan diantara ROC dan Parti Komunis China telah lama berakhir dan ROC telahpun di”Taiwan”kan. Sebab itu beliau mencadangkan Taiwan menyertai PBB sebagai negara berdaulat.
Bagi Ma Ying Jeou hanya ROC yang berdaulat dan bukannya Taiwan. Beliau masih lagi dibebani dengan perang saudara diantara KMT dan Parti Komunis China. Diatas dasar ini, Ma telah dituduh sebagai agen China oleh lawannya dari DPP.

Ribuan rakyat menghadiri kempen pilihanraya KMT
Identiti nasional, keselamatan negara dan pemulihan ekonomi menjadi isu utama bagi rakyat untuk memilih presiden baru mereka.
Dalam pilihanraya parlimen (Legislative Yuan) yang dijalankan pada awal Januari yang lalu, KMT menyapu 81 daripada 113 kerusi yang dipertandingkan. Sementara DPP hanya mendapat 27 kerusi. Ini bermakna jika calon DPP menang sekalipun dalam pilihanraya presiden kali ini, beliau sukar untuk membuat apa-apa keputusan penting memandangkan KMT telah menguasai parlimen.
KMT lebih popular berbanding dengan DPP jika pilihanraya parlimen yang lalu dijadikan sebagai kayu ukur. Akan tetapi, krisis diantara China dan Tibet telah mengurangkan populariti KMT. Frank Hsieh bijak memanipulasikan krisis ini dan menyebabkan rakyat Taiwan takut mereka akan senasib dengan Tibet jika KMT menang.
Ma Ying Jeou takut dengan penurunan populariti KMT akibat krisis diantara China dan Tibet telah mengumumkan jika beliau menang, Taiwan akan memboikot Sukan Olimpik di China yang akan berlangsung tidak lama lagi sebagai satu protes dan solidariti kepada rakyat Tibet.

Letupan mercun memeriahkan kempen KMT di daerah Taoyuan
Apa yang menarik didalam undang-undang pilihanraya di Taiwan ialah semua rakyat yang berumur 20 tahun ke atas akan menjadi pengundi yang berdaftar secara automatik (Artikel 11, Undang-undang pilihanraya Taiwan).
Ertinya rakyat dipermudahkan untuk megambil bahagian didalam pilihanraya tanpa perlu bersusah payah untuk melayan kerenah proses pendaftaran.
Bermula jam 8 pagi, tempat mengundi akan dibuka. Rakyat Taiwan akan berpusu-pusu untuk memilih bakal presiden baru mereka. Setelah proses pengundian berlangsung selama lapan jam, pusat mengundi akan ditutup pada pukul 4 petang.
Diberitakan bahawa sistem pengiraan undi di Taiwan adalah antara yang terpantas didunia. Menjelang pukul 6 petang, rakyat sudah boleh mengetahui siapakah yang akan menjadi presiden mereka.
Sejauh manakah benarnya dakwaan bahawa sistem pengiraan undi di Taiwan antara yang terpantas di dunia? Kita lihat sahaja nanti.
Penulis kini berada di Taiwan sebagai seorang pemantau pilihanraya antarabangsa dari Asian Network for Free Election (ANFREL) bagi menyaksikan perjalanan Pilihanraya Presiden Taiwan 2008.



Kita harus belajar dari kisah Rafidah. Dahulu beliau umpama hulubalang wanita kepada Abdullah Badawi. Sehinggakan beliau sanggup melawan bos lamanya, Dr. Mahathir Mohammad satu ketika dulu untuk mempertahankan Pak Lah, anak dan menantu.
Selepas keputusan PRU 12 yang lalu, Rafidah Aziz sewaktu mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Umno dengan tegas menyatakan bahawa menantu Perdana Menteri adalah punca utama Barisan Nasional kalah teruk.
Oleh kerana itu sahaja, Rafidah telah digugurkan dari jawatan kabinet. Lihat betapa besarnya kuasa menantu Pak Lah di Malaysia. Tanpa memegang apa-apa jawatan pun dia boleh menentukan segala keputusan Pak Lah.
Penafian Pak Lah bahawa Khairy tidak mempengaruhinya adalah penipuan semata-mata. Kita tidak akan lupa bagaimana Pak Lah menafikan tentang tarikh pembubaran parlimen dan tidak sampai 24 jam parlimen dibubarkan.
Begitu juga dengan penafian PM tentang adanya gerakan untuk menjatuhkannya. Sudah pasti gerakan itu semakin berkembang.
Penentang-penentang Pak Lah didalam Umno semakin ramai. Mukhriz,Ku Li,Rafidah,Khir Toyo dan ramai lagi sedang menyusun gerakan. Najib mungkin sudah mula main belakang. Pemilihan Tengku Adnan sebagai Setiausaha Agung Umno membuktikan bahawa Kes Pita Lingam hanya akan tinggal kenangan.
Menantu PM cuba menyelamatkan bapa mertuanya dikalangan orang Melayu dengan menaja demonstrasi pro DEB dibeberapa tempat. Yang hadir dalam demonstrasi tersebut mungkin terlupa bahawa DEB telah dimansuhkan oleh Pak Lah dan menantu di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI).
Disiarkan di Malaysiakini pada 13 Mac 2008 di ruangan Kolum Amin Iskandar
Keputusan pilihanraya umum ke-12 memeranjatkan semua pihak. Baik dari parti pemerintah mahupun parti pembangkang. Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti mudah tetapi hilang penguasaan dua pertiga di parlimen.
Selain itu BN gagal untuk mempertahankan kekuasaan di beberapa buah negeri seperti Selangor, Perak Kedah dan Pulai Pinang sementara Kelantan gagal ditawan dan kekal di bawah pemerintahan PAS. Semua kerusi parlimen di Kuala Lumpur dirampas oleh pakatan pembangkang kecuali Setiawangsa berjaya dipertahankan oleh Zulhasnan Rafique.
Selatan tanahair yang menjadi kubu kuat BN juga “dirobek” sedikit demi sedikit sehinggakan BN Negeri Sembilan hilang majoriti dua pertiga.
Sebenarnya, Khairy Jamaluddin mahu menjadi Menteri Penuh. Kenyataan yang beliau tiada niat untuk menjadi menteri selagi Pak Lah masih berkuasa adalah penipuan semata-mata. Beliau mahu laluan yang cepat dan selamat selagi Pak Lah berkuasa.
KJ sepatutnya mahu menjadi Menteri Belia dan Sukan. Akan tetapi apabila Pak Lah mengumumkan perkara ini didalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang lalu, beliau mendapat bantahan yang hebat. Menurut sumber dalaman Umno, Muhyiddin Yassin dan Rafidah Aziz adalah penentang yang paling lantang membantah perlantikkan Khairy ke dalam kabinet.
Rafidah Aziz yang paling marah sehinggakan menghentak meja, tegas dengan pendiriannya bahawa Khairy Jamaluddin perosak Umno. Akhirnya Rafidah dikorbankan daripada dilantik kembali menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa.
Muhyiddin tidak dapat dikorbankan kerana Pak Lah bergantung kepada Naib Presiden Umno itu untuk terus kuat dalam Umno. Pak Lah yang pasti akan dilawan oleh Rafidah dan Wanita Umno tidak mampu untuk berlawan dengan banyak pihak. Sebab itulah Pak Lah harus memilih salah satu dan Muhyiddin dipilih kerana “ranking”nya yang paling kanan berbanding Rafidah.
Jika anda lihat senarai kebinet baru, anda boleh melihat kemaraan orang-orang Khairy. Wan Farid yang tidak bertanding didalam pilihanraya dilantik menjadi Senator sekaligus memegang jawatan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri. (Apakah insiden Batu Burok akan berulang?)
Sepupu menantu PM Shaziman Mansor telah diangkat menjadi Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi. (Kata orang kementerian ini diantara lubuk duit)
Ketua Penerangan Umno, Mat Taib yang rapat dengan Khairy juga telah dilantik menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah walaupun tidak bertanding dalam pilihanraya. (Ini usaha untuk merampas kembali Selangor pada pilihanraya umum akan datang)
Walaupun tidak menjadi Menteri Kabinet, Khairy masih lagi menguasai kerajaan Malaysia. Apa tidaknya, dengan menguasai bapa mertuanya sahaja, beliau telah menguasai negara. Semua jawatan penting seperti Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan lain-lain tetap dikuasainya.

Orang-orang Najib telah disekat. Jamaluddin Jarjis diantara senarai yang terkeluar. Jika masih terus “play safe”, Najib pasti akan digulaikan dalam pemilihan agung Umno akan datang.
“Saya mendapat sokongan kepimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN),” katanya pada sidang akhbar selepas mengumumkan barisan Kabinetnya di Perdana Putra di Putrajaya.Mengenai hubungannya dengan Najib, beliau berkata: “Saya mempunyai hubungan paling baik dengan Najib.
“Anda yang bertanya mengenainya… orang membuat tuduhan mengenai banyak perkara.” (Abdullah Badawi, Malaysiakini).
Maklumat terbaru diterima, Dua Timbalan Menteri yang baru dilantik tadi enggan menerima jawatan. Klik disini dan disini.
Pernolakkan jawatan ini berkemungkinana kerana dua ahli parlimen tersebut tidak sanggup untuk bersekongkol dengan “Kabinet Khairy”.
Isu DEB hangat dibincangkan kembali. Selepas hilang majoriti 2/3 di parlimen dan penguasaan keatas beberapa buah negeri, Umno kembali berdemonstrasi.
Mereka berdemonstrasi kononnya mahu memperjuangkan DEB, tapi sebenarnya ialah untuk mempertahankan projek kroni. Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berat sebelah tidak mengambil apa-apa tindakan apabila Umno melakukan “perhimpunan haram”.
Ini jelas menunjukkan bahawa PDRM bukan bekerja untuk rakyat Malaysia tetapi untuk Umno/BN.
Sejauh mana orang Melayu dan rakyat Malaysia percaya bahawa DEB masih lagi relevan dan diperlukan?
Sila nyatakan pandangan anda diruangan komen.
Peringatan: Hanya perbincangan yang sihat akan disiarkan.
Berikutan dengan surat yang ditulis oleh Mukhriz Mahathir meminta Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi supaya meletak jawatan sebagai tanggungjawab diatas keputusan PRU 12, beliau telah diserang oleh Umno Pulau Pinang dan Selangor. Klik disini.
Azhar Ibrahim selaku Setiausaha Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang telah meminta Ketua Pemuda Umno, Hishamuddin Tun Hussein agar memecat Mukhriz daripada Exco Pemuda Umno.
Sejauh manakah Umno akan bertindak keatas Mukhriz? Apakah BN akan kehilangan seorang lagi Ahli Parlimen? Dimana suara Khairy Jamaluddin dalam isu ini?


Surat yang dihantar oleh anak kepada Dr. Mahathir, Mukhriz Mahathir kepada Abdullah Ahmad Badawi. Didalam surat ini dengan jelas Ahli Parlimen Jerlun itu meminta Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional untuk meletakkan jawatan sebagai bertanggungjawab keatas kegagalan BN untuk mempertahankan majoriti 2/3 di parlimen dan hilang penguasaan keatas beberapa buah negeri. Sila klik disini untuk membaca surat Mukhriz dengan lebih jelas.
Di Pulau Pinang, Umno telah mengadakan “perhimpunan haram” untuk memberi amaran kepada Ketua Menteri yang baru agar jangan mencabar mereka dalam isu DEB. Sila klik disini.
Apa kata Musa Hassan? Ternyata Umno Pulau Pinang telah melanggar arahan ketua polis negara agar parti-parti politik agar tidak mengadakan perhimpunan yang boleh membakar sentimen perkauman selepas keputusan pilihanraya umum ke 12 diumumkan.

Sementara itu semenjak malam semalam, beberapa “banner” untuk mendesak Abdullah Badawi supaya meletakkan jawatan dilihat dibeberapa tempat seperti Pandan Indah, Ampang, Kampung Baru, Jalan Jelatek, Cheras dan Taman Melawati.
Difahamkan bahawa banner-banner ini berada di 15 kawasan yang akhirnya diturunkan. Sila klik disini untuk melihat gambar-gambar yang sempat dirakam.
Jelas pertembungan di dalam Umno telah bermula. Orang-orang Pak Lah telah keluar berdemonstrasi kononnya hendak menjuarai isu Melayu. Ini bertujuan agar Pak Lah dilihat masih relevan.
Sementara dipihak yang satu lagi, gerakan untuk menjatuhkan Pak Lah telah bermula. Alasan Pak Lah gagal untuk mempertahankan mandat BN digunakan. Sebentar tadi jika anda membuka TV, siaran secara langsung bersama Pak Lah. Apakah ini menunjukkan beliau sudah benar-benar terdesak?
Najib Tun Razak yang dihantui dengan kes Altantuya pula masih belum kedengaran sebarang kenyataan daripadanya. Apakah beliau sedang tunggu dan lihat?
Sejarah telah membuktikan bahawa jika Umno dilanda krisis, pihak lain yang akan menjadi mangsa.
Lihatlah apa yang berlaku pada tahun 1987. Umno dilanda krisis, sentimen perkauman diapi-apikan dan “operasi lalang” pun berlaku. Beratus-ratus aktivis yang tidak ada kena mengena dengan krisis ditahan ISA.
Situasi semasa menyaksikan ada sesuatu yang “besar” sedang dirancang. Pertembungan hebat diantara dua kem di dalam Umno. Siapakah yang akan menang?
Selepas Lim Kit Siang memohon maaf dan menarik balik boikot DAP terhadap majlis angkat sumpah MB Perak yang baru, PKR pula memprotes. PKR mengugut untuk keluar dari kerajaan campuran jika agihan exco tidak dibuat secara adil. Lihat berita dari Malaysiakini:
Angkat sumpah MB Perak ditangguh
Mar 13, 08 4:23pmUpacara mengangkat sumpah menteri besar bagi kerajaan campuran pembangkang di Perak telah dibatalkan.
Majlis tersebut dijadual diadakan pada jam 4 petang di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.
Penangguhan itu diumumkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Seri Raja Mansor Raja Razman di Istana Iskandariah.
Tiga calon jawatan menteri besar telah mengadakan perjumpaan dengan pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah di Istana Kinta di Ipoh petang tadi.
Manakala upacara angkat sumpah dijadual pada jam 4 petang di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar.
Mahu jumpa semua Adun
Mesyuarat itu bermula jam 2.30 petang hingga 4.05 petang.
Sementara itu, difahamkan dalam perjumpaan dengan Raja Dr Nazrin Shah, wakil PKR, Jamaluddin Mohd Radzi, bagi pihak partinya, dikatakan telah mempertikaikan pemilihan Nizar sebagai menteri besar.
Ekoran itu, Malaysiakini difahamkan, Raja Dr Nazrin Shah telah mengarahkan mereka menyelesaikan terlebih dahulu isu pemilihan calon menteri besar itu, dan membatalkan upacara angkat sumpah hari ini.
Raja Dr Nazrin juga difahamkan mahu menemui kesemua 31 Adun dari DAP, PAS dan PKR untuk mendengar sendiri pendirian mereka masing-masing mengenai calon menteri besar.
Sementara itu, Istana Kinta dalam kenyataannya yang difakskan kepada Bernama memaklumkan bahawa penangguhan itu dibuat berdasarkan kepada perkembangan terkini yang menunjukkan DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS tidak mencapai kata sepakat yang ketara dalam penubuhan kerajaan campuran.
Kenyataan yang ditandatangani Setiausaha Sulit Sultan Perak, Datuk Abdul Rahim Mohamad Nor itu menyatakan Raja Dr Nazrin Shah bertitah supaya majlis angkat sumpah hari ini ditangguhkan.
Perkembangan terkini
“Berdasarkan perkembangan terkini, bahawa kelihatan DAP, PKR dan PAS tidak mencapai kata sepakat yang ketara dalam hasrat menubuhkan kerajaan yang stabil bagi negeri Perak Darul Ridzwan.
“Oleh itu Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja telah bertitah supaya angkat sumpah jawatan Menteri Besar Perak yang dijadualkan petang ini ditangguhkan,”.
Bagaimanapun kenyataan itu tidak menyatakan bila istiadat itu akan dilangsungkan.
Sementara itu, Setiausaha DAP Perak Nga Kor Ming berkata kesemua 31 Adun DAP, PKR dan PAS Perak hari ini diminta menandatangani surat persetujuan menubuhkan kerajaan campuran dan menerima
pelantikan Nizar sebagai menteri besar.Katanya, Raja Dr Nazrin bertitah demikian kepada wakil tiga parti berkenaan yang menghadap baginda di Istana Kinta di Ipoh pada 2.30 petang tadi.
Menurut Nga, surat persetujuan berkenaan perlu dipersembahkan kepada baginda dengan menyatakan persetujuan bekerjasama dalam kerajaan campuran serta persetujuan sebulat suara menerima Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar.
Semalam kerajaan campuran DAP-PKR-PAS di Perak bersetuju untuk melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Panjang dari PAS, Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar yang baru.
Nizar juga merupakan setiausaha PAS Perak.
Salah faham selesai
Pengerusi DAP Perak, yang juga Adun Sitiawan, Ngeh Khoo Ham dan seorang wakil kaum India akan dilantik sebagai timbalan menteri besar satu dan dua.
Bagaimanapun, semalam DAP membantah pemilihan Nizar sebagai menteri besar apabila pemimpin veteran parti itu, Lim Kit Siang berkata pihaknya hanya bersetuju calon DAP atau PKR dilantik sebagai menteri besar.
Bagaimanapun, perkara itu nampaknya telah dapat diselesaikan dan Lim juga telah memohon maaf kepada Raja dan pemangku Raja Perak. Ngeh juga memberitahu pagi ini bahawa salahfaham itu telah diselesaikan.
Bagaimanapun, PKR pula membuat kenyataan mengejutkan bahawa parti itu akan keluar daripada kerajaan campuran di Perak jika agihan ahli exco tidak dibuat secara adil.
Difahamkan lapan daripada 10 jawatan exco diambil oleh DAP manakala baki dua kerusi diagih antara PAS dan PKR.
Teman-teman yang berada di Perak telah menghubungi saya dan menyatakan tentang kegusaran mereka. Jika pakatan pembangkang tidak dapat menyelesaikan isu pengagihan kerusi exco ini dalam jangkamasa terdekat, kemungkinan untuk melihat Perak dibawah pemerintahan baru akan gagal dicapai.
Kepada PAS, PKR dan DAP, selesaikanlah masalah ini secepat mungkin dan secara matang. Fikirkanlah nasib rakyat Perak yang telah “memperjudikan” nasib mereka demi untuk menyingkir BN yang sombong.
Pertikaian mengenai perlantikan MB baru selesai. Lim Kit Siang memohon maaf diatas kenyataannya semalam mengenai pemboikotan perlantikan MB baru Perak.
Sila lihat berita dari Malaysiakini dibawah:
DAP terima pelantikan MB dari PAS
Salah faham berhubung isu pelantikan Menteri Besar baru Perak telah selesai, kata Pengerusi DAP Perak.
Berikutan itu, katanya, semua ahli Dewan Undangan Negeri (DAP) akan menghadiri majlis angkat sumpah Menteri Besar, Mohamad Nizar Jamaluddin dari PAS.
Upacara mengangkat sumpah akan berlangsung di Istana Iskandar, Kuala Kangsar pada jam 4 petang ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham kepada Malaysiakini pagi ini.
Ngeh yang juga Adun Setiawan dilantik Timbalan Menteri Besar I.
Manakala jawatan Timbalan Menteri Besar 11 akan dilantik dari kalangan wakil rakyat keturunan India.
Wakil rakyat PAS Mohamad Nizar Jamaluddin dilantik sebagai Menteri Besar Perak selepas gabungan DAP-PAS-PKR berjaya menawan Perak.
Mohamad Nizar, seorang jurutera, menang di kerusi Pasir Panjang dengan majoriti 4,474 undi.
Bagaimanapun, semalam, pemimpin DAP, Lim Kit Siang berkata pelantikan Nizar tidak direstui jawatankuasa eksekutif DAP.
Berikutan itu, beliau berkata, Adun DAP tidak akan menghadiri upacara angkat sumpah menteri besar hari ini.
Media arus perdana sekarang ini tidak henti-henti melagakan pakatan pembangkang yang berjaya menubuhkan kerajaan campuran dibeberapa buah negeri. Selain daripada itu, api perkauman cuba diapi-apikan. Diharap agar rakyat bijak dalam menilai berita-berita yang dimainkan oleh media arus perdana.
ditulis oleh Malcom
Kepada Umno dan Barang Naik (BN) saya ucapkan takziah diatas kekalahan yang mengejut pada PRU yang k 12 baru-baru ini.
Kami, pejuang-pejuang kebenaran, keadilan dan hak rakyat telah menunggu hampir 50 tahun. Saya yang baru berjuang telah menunggu hampir 10 tahun untuk melihat kerajaan yang bongkak seperti BN tumbang di 4 negeri termasuk kerusi parlimen di Kuala Lumpur serta gagal merampas Kelantan dari PAS.
Apakah ini bererti kami akan berhenti berjuang dan berpuashati dengan pencapaian pilihanraya 2008?
Tidak sama sekali.
Umno/BN telah memberi amaran akan melancarkan gelombang biru satu negara untuk menawan kembali hati rakyat. Jangan terkejut jika rakyat sendiri bangkit dan melancarkan gelombang NYAH UMNO/BN dari muka bumi Malaysia.
Kami berjuang bukan kerana faktor Anwar dan Mahathir semata-mata. Kami berjuang kerana mereka berdua telah menyedarkan rakyat bahawa bahaya yang akan menimpa jika kami terus biarkan anda terus berkuasa.
Memang benar segala kemusnahan ini bermula semenjak zaman pemerintahan Mahathir, tapi kami mengambil peluang dengan pendedahan mengenai niat jahat Khairy Jamaluddin oleh bekas perdana menteri itu untuk kuat bekerja.
Anwar Ibrahim pula memainkan peranan besar apabila tampil untuk menyatupadukan parti-parti Barisan Rakyat.
Akan tetapi kamilah yang sedar dan celik tentang perkara sebenar.
Apa guna dengan slogan Hidup Melayu kalau nasib kami di kampung-kampung tidak terbela. Infrastruktur tidak pernah terjaga dengan elok.Anda semua hanya muncul ketika musim pilihanraya.
Apa guna terjerit-jerit mempertahankan DEB sedangkan ekonomi orang Melayu terus mundur.Yang mendapat untung adalah anda semua yang rapat dengan kepimpinan tertinggi BN. Saham berjuta-juta dan peluang perniagaan di bolot.
Yang layak tetapi tidak mempunyai “kabel”, tidak diberi peluang. Apa gunanya DEB jika hanya mempunyai “keistimewaan” untuk masuk universiti walaupun tidak layak dari segi merit?
Semua orang tahu DEB hanya berguna bagi mereka yang rapat dengan kepimpinan Umno/BN.
Orang Melayu lemah kerana anda semua telah menanam sifat “kebergantungan” kepada Umno.Umno tidak akan membiarkan orang Melayu “independen” dari segi ekonomi agar terus percaya bahawa Umno membela Meyu. Inilah yang menyebabkan orang Melayu terus ketinggalan dari sudut ekonomi berbanding dengan orang Cina.
Orang Cina tidak memerlukan hak keistimewaan didalam DEB. Mereka berjaya kerana rajin dan bijak mengambil kesempatan dari DEB.
Orang Melayu lemah kerana anda yang mengajar mereka untuk terus lemah. Anda jugalah yang berkempen ketika pilihanraya dengan menggunakan modal “kalau mahu bantuan DEB harus sokong Umno”.
Selepas menang mana perginya DEB? Malulah kamu semua wahai orang Umno! Selama 50 tahun orang Melayu ditipu. Kini orang Melayu bangkit dan bangun untuk menolak dasar yang tidak menguntungkan mereka.
Mereka sudah bersedia untuk bersaing dengan bangsa Cina. Mereka menyokong Agenda Ekonomi Malaysia dan menyokong parti-parti dari Barisan Rakyat kerana mereka yakin Barisan Rakyat boleh membantu mereka dan juga kaum-kaum yang lain.
Umno/BN telah ketinggalan zaman.Orang Melayu tidak lagi mengharapkan bantuan.Mereka mampu bergerak sendiri. Malah orang Melayu telah melihat bagaimana Umno gagal dalam memartabatkan bangsa mereka.
Tanah rizab Melayu akan diperkosa suatu hari nanti apabila WPI dimulakan pembinaannya. Jadi dimana slogan Hidup Melayu dalam isu ini?
Orang Melayu sudah merasa jijik dengan kes-kes Scomi, ECM Libra, Istana Mewah di Port Klang, Oil For Food, kes kastam dan bermacam-macam kes yang melibat pucuk pimpinan Umno.
Anda semua telah gagal. Gagal sama sekali untuk membela nasib orang Melayu.
Orang Melayu sudah bersiap-sedia mahu menjadi seperti orang Cina yang rajin berusaha untuk terus majutanpa mengharapkan apa-apa keistimewaan.
Melayu baru yang bersifat progressif telah lahir.
Saya berhenti dulu buat sementara waktu. Khas buat pimpinan Barisan Rakyat belalah nasib orang Melayu yang benar-benar susah seperti kampung. Bantulah juga orang Cina dan India.
Buat rakan-rakan yang berada di Sabah dan Sarawak sudah tiba masanya anda berubah jika mahu terus maju dan terbela.
Ubahlah kerajaan yang ada pada hari ini. Jika anda berubah nescaya nasib anda akan terbela. Kerajaan yang baru akan bekerja keras agar tidak mengalami nasib yang sama dengan Umno/Barang Naik (BN).
Kepada Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, Tan Sri Khalid, Ustaz Azizan, dan bakal MB Perak, jagalah penduduk negeri anda dengan sebaik-baiknya. Jika rakyat terbela, Umno dan Barang Naik (BN) akan terkubur dalam pilihanraya akan datang.
P/S: Amaran kepada Barisan Rakyat, usaha untuk mereformasikan pilihanraya harus diteruskan, jika tidak Barisan Rakyat akan mengalami nasib yang sama seperti apa yang berlaku kepada pakatan pembangkang dalam pilihanraya 2004.
Keputusan pilihanraya umum 2008 telah memeranjatkan ramai pihak. Pakatan pembangkang telah berjaya merampas 4 buah negeri dan mengekalkan Kelantan dibawah pemerintahan PAS.
Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan telah berjaya menyelesaikan urusan perlantikan Menteri Besar dan Ketua Menteri. Menteri Besar Selangor yang baru akan mengangkat sumpah esok begitu juga dengan Menteri Besar Perak.
Perak adalah negeri yang “terpanas” dalam menyelesaikan masalah perlantikan Menteri Besar. Pakatan pembangkang merampas Perak dari BN apabila DAP memenangi 18 kerusi Dun, PKR tujuh kerusi sementara PAS mendapat enam kerusi.
Difahamkan bahawa Mohamad Nizar Jamaludin telah mendapat perkenan Istana untuk dilantik sebagai MB sementara Ngeh Koo Ham dari DAP akan dilantik Timbalan MB I. Jawatan Timbalan MB II yang mewakili masyarakat India masih lagi belum diputuskan.
DAP yang memenangi kerusi Dun terbesar sebanyak 18 buah, tidak berpuas hati apabila Sultan Perak memilih Mohamad Nizar yang memenangi kerusi di Pasir Panjang. Sila lihat berita dari Malaysiakini dibawah:
DAP bantah Nizar sebagai MB Perak
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP
tidak akan menghadirimajlis mengangkat sumpah menteri besar Perak yang dijadualkan diadakan esok.Bantahan ini ditegaskan oleh tokoh besar DAP Lim Kit Siang kerana jawatankuasa eksekutif pusat parti itu tidak merestui pemilihan Adun PAS di Pasir Panjang, Mohamad Nizar Jamaludin, sebagai menteri besar Perak.
Sebaliknya, kata Lim, DAP bersedia untuk menerima pelantikan pengerusi DAP Perak Ngeh Koo Ham yang juga Adun Setiawan atau Jamaluddin Mohd Radzi, Adun PKR Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi sebagai menteri besar Perak.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata jawatankuasa pusat DAP telah merestui penubuhan kerajaan campuran di Perak yang diketuai oleh DAP atapun PKR, dan bukannya oleh PAS.
Sebelum ini, Mohamad Nizar berkata perkenan Sultan itu dimaklumkan kepadanya oleh Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah Azlan Shah yang menerima rombongan pemimpin ketiga-tiga parti itu mengadap di Istana Kinta jam 5 petang tadi.
Bercakap kepada pemberita di perkarangan Istana Kinta, Nizar berkata Ngeh, 47, akan dilantik sebagai timbalan menteri besar I.
Manakala jawatan timbalan menteri besar II akan diumumkan kemudian, bagi mewakili masyarakat India di Perak.
Sementara itu, Lim berkata, keputusan untuk melantik Mohamad Nizar dari PAS sebagai menteri besar Perak “telah mengejutkan dan membingungkan pemimpin, ahli dan penyokong DAP.”
Katanya, dalam mesyuarat tergemparnya di Pulau Pinang pada Ahad lalu, jawatankuasa pusat DAP merestui penubuhan kerajaan campuran Perak yang terdiri daripada 18 Adun DAP, tujuh PKR dan enam PAS.
Selain nama Nizar, PAS, DAP dan PKR semalam mengemukakan nama Ngeh, 47, dan Jamaluddin yang juga bendahari PKR Perak.
Sementara itu, sebagai reaksi segera kenyataan Lim itu, Nizar berkata beliau enggan memberi sebarang komen.
“Kami percaya, sebagai sebuah kerajaan campuran, semua keputusan dibuat secara bersama.
“Kita tidak akan menjawab sebarang komen yang dibuat di luar kerajaan campuran,” katanya kepada Malaysiakini.
Sebelum ini, Ngeh telah memberitahu wartawan bahawa ketiga-tiga parti tersebut akan menghormati keputusan Sultan Perak memilih calon menteri besar dan akan bekerjasama menubuhkan kerajaan negeri yang baru.
Belumpun kerajaan campuran diantara PAS-DAP-PKR memulakan pemerintahan baru, pergeseran telah berlaku.
Apakah mereka mampu bertahan dalam jangkamasa panjang?
Seharusnya, perkara begini diselesaikan secara tertutup tanpa memberi “peluru” kepada BN untuk menembak.
Apa kata anda?
Katakanlah Pak Lah didesak untuk meletakkan jawatan dan beliau bersetuju melakukannya. Siapakah yang layak untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia yang keenam?
a) Najib Tun Razak.
b) Muhyiddin Yassin.
c) Ali Rustam.
d) Shahrir Samad.
e) Khairy Jamaluddin.
f) Tiada siapapun yang layak.
Sila berikan jawapan anda diruangan komen.
Sidang media khas tentang “apa yang berlaku di Rembau?” bersama Badrul Hisham Shaharin a.k.a Chegubard akan diadakan esok. Butirannya dibawah:
Tarikh: 11 Mac 2008
Masa: 11.30 Pagi
Tempat: Dewan Perhimpunan Cina Selangaor (SCAH)
Semua dijemput hadir beramai-ramai!!!
Dalam kenyataan PM hari ini, beliau mengatakan bahawa keputusan pilihanraya 2008 membuktikan bahawa SPR tidak berat sebelah. Sila klik disini.
Awal pagi tadi ketika mengumumkan kemenangan BN menang tetapi gagal untuk kekalkan majoriti 2/3, Pengerusi SPR, Abdul Rashid Abdul Rahman ditanya oleh wartawan, “bagaimana dengan keputusan pembangkang?”, dengan marah beliau menjawab, “Saya tidak tahu”.
Sebagai pengerusi SPR, beliau seharusnya bersikap “neutral” tetapi dari air muka dan tindak tanduknya, kelihatan beliau begitu tertekan dengan kekalahan BN di banyak kerusi dan kehilangan beberapa buah negeri (Selangor, Perak, Pulau Pinang, Perak dan Kedah).
Abdul Rashid kelihatan benar-benar kecewa. Mungkin ini disebabkan oleh pengundi-pengundi hantu dan manipulasi pilihanraya yang beliau lakukan gagal untuk melawan arus kebangkitan rakyat.
Beliau sudah gagal melaksanakan misinya. Tambahan lagi kontrak sebagai Pengerusi SPR selama setahun yang disambung oleh BN dengan meminda perlembagaan tahun lalu, ternyata tidak memberikan apa-apa makna kepada BN. BN telah tewas dengan teruk dalam sejarah Malaysia.
Pak Lah dan Menantu yang dikatakan mendapat bantuan undi pos yang besar jumlahnya, tidak akan terlepas begitu sahaja.
Perjuangan untuk menegakkan demokrasi tulen dan pilihanraya yang bebas dan adil akan berterusan.
Kempen yang bertalu-talu BN yang menggunakan TV, media cetak dan jentera kerajaan hampir setiap hari akhirnya telah menyebabkan mereka menerima padah. Kedah, Perak, Selangor dan Pulau Pinang tumbang ke tangan pembangkang.
Setelah 50 tahun ditipu, rakyat Malaysia bangkit dan memberi undi kepada pembangkang yang menyebabkan manipulasi pilihanraya dan pengundi-pengundi hantu yang dibawa gagal untuk membantu kemenangan BN.
Khairy Jamaluddin yang tewas dalam kiraan pertama (tewas 83 undi) dan kedua (tewas 800 undi) kepada Badrul Hisham Shaharin akhirnya mendapat bantuan undi pos lebih daripada 6000 undi yang menyebabkan beliau menang dengan majoriti 5,470 undi.
Dalam BN yang hampir tumbang, Pak Lah hanya mahu menantunya selamat apabila memberikan kuota undi pos yang besar kepada menantunya. Turut diingatkan ketika kiraan semula, Badrul Hisham dan penyokongnya tidak dibenarkan masuk. Hanya Khairy dan orang BN dibenarkan masuk.
BN hilang majoriti 2/3. Pak Lah setakat ini enggan letak jawatan. Namun pengaruhnya semakin hilang dan dijangkakan akan ditekan untuk letak jawatan.
Bersambung……
Menerima sms daripada seorang teman yang melaporkan bahawa pada waktu ini, ramai anak-anak Kelantan sedang berkumpul di Stadium Bukit Jalil menunggu menaiki bas untuk pulang mengundi. Ramai yang berada disitu dan banyak bas kelihatan. Turut dilaporkan bahawa RM 200 diberikan kepada anak-anak Kelantan ini agar mengundi BN.
Dalam program pendidikan pengundi yang pernah dilakukan di Sabah, kami memberitahu rakyat jika mereka ditawarkan wang, mereka boleh ambil tetapi undi tetap mengikut pilihan mereka. Ini adalah kerana undi adalah rahsia. Rakyat diharap menjadi lebih bijak. Jangan gadaikan masa depan negara hanya kerana wang yang tidak seberapa.
Blog Republik Kata ada menyiarkan wawancara bersama saya mengenai isu-isu pilihanraya terkini.
Sila klik disini.Salah satu pandangan saya ialah, pembatalan penggunaan dakwat kekal telah mengesahkan lagi kewujudan pengundi hantu. Malahan kenyataan terbaru Pak Lah juga mengatakan bahawa beliau yakin akan menang besar termasuk dinegeri-negeri yang panas seperti Kelantan dan Pulau Pinang. Sila klik disini. Apakah kemenangan besar tersebut akibat bantuan daripada pengundi hantu?
Seperti yang telah dijangkakan, “wayang” akhirnya bermula. Sila lihat berita dari Malaysiakini dibawah:
Rumah pengerusi SPR disimbah cat
Mar 6, 08 12:53pm
Rumah pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman hari ini disimbah cat warna merah, dipercayai sebagai bantahan keputusannya membatalkan pelaksanaan dakwat kekal di jari pengundi.
Kejadian itu, dipercayai awal pagi atau tengah malam tadi, diketahui hari ini oleh pekerja rumahnya di Jalan Bukit Pantai, Kuala Lumpur.
Abdul Rashid memberitahu Malaysiakini, beliau percaya kejadian itu bermotifkan politik.
Perbuatan menyimbah cat merah bahagian pagar rumahnya di Lorong Bukit Pantai 7, Lembah Pantai itu dipercayai dilakukan tiga lelaki kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi, lapor laman web Utusan Malaysia.
Abdul Rashid bagaimanapun hanya menyedari perkara itu pada pukul 7.30 pagi ini ketika beliau menunggu pemandunya untuk keluar menuju ke pejabatnya.
Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan yang mengulas kejadian itu menegaskan pihaknya sedang menjalankan siasatan mengenainya.
SPR kelmarin membatalkan cadangan penggunaan dakwat kekal, hanya empat hari sebelum pengundian pada Sabtu ini.
Pengumuman mengejutkan itu dibuat pada satu sidang akhbar di yang turut dihadiri ialah Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan juga Musa.
Beberapa hari sebelumnya, pembangkang menegur SPR yang kelihatan berat hati untuk memperkenalkan penggunaan dakwat tersebut.
Susulannya, beberapa pemimpin utama badan pemantau yang diiktiraf SPR, Malaysians for Free and Fair Elections (Mafrel), termasuk pengerusinya Abd Malek Hussin, menarik diri sebagai pemerhati pada 8 Mac ini.
Jangan terkejut dalam masa-masa akhir sebelum hari mengundi ini, akan terdapat lebih banyak wayang dan sandiwara yang akan berlaku.

Md. Salman Nasaruddin jurugambar kepada Anwar Ibrahim meninggal dunia petang tadi. Arwah adalah seorang yang peramah dan baik hati. Walaupun saya baru sahaja mengenali beliau setahun dua ini, sifat peramahnya menyebabkan saya terasa dekat dengannya.
Marilah kita bersama-sama sedekahkan Al-Fathihah buat arwah Salman. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman. Sila klik disini untuk berita berkaitan.

SPR baru saja mengumumkan sebentar tadi bahawa penggunaan dakwat kekal dalam pilihanraya umum ini untuk mengelakkan penggundian berulang dibatalkan.
Pengerusi SPR, Abdul Rashid Abdul Rahman membuat pengumuman tersebut dalam satu sidang akhbar yang turut dihadiri oleh Peguam Negara, Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Musa Hassan.
Dibawah ialah berita dari Bernama:
SPR Batal Cadangan Guna Tanda Dakwat Di Kuku Atau Jari Tangan Pengundi
PUTRAJAYA, 4 Mac (Bernama) — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini membatalkan cadangan menggunakan tanda dakwat kekal di kuku atau jari tangan pengundi pada pilihan raya umum Sabtu ini.
Pengerusinya Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman ketika mengumumkan perkara itu berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat hari ini berasaskan nasihat dari segi perundangan serta aspek ketenteraman dan keselamatan awam.
“Hasil siasatan terhadap laporan yang dibuat kepada pihak polis, mengesahkan bahawa terdapat pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab telah membeli dakwat dari luar negara bagi menjalankan aktiviti memujuk dan menyogok orang yang kurang faham mengenai penggunaan dakwat itu untuk dicalit sebelum hari mengundi.
“SPR berasa amat dukacita atas keputusan yang dibuat ini. Namun begitu, demi menunaikan kewajipan dan tanggungjawabnya dalam menjamin kelancaran proses pengundian serta ketenteraman serta keselamatan awam, SPR perlu mengambil keputusan tegas dan muktamad ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPR di sini hari ini.
Turut hadir ialah Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan. SPR sebelum ini mengumumkan cadangan menggunakan dakwat khas dari India itu untuk menanda kuku atau jari pengundi bagi mengelak penipuan pada pilihan raya umum.
Tanda dakwat itu bagaimanapun tidak terpakai bagi pengundi pos yang perlu membuat pelbagai pengisytiharan bagi menentukan kesahihannya.
Tanda dakwat berwarna hitam yang membabitkan kos kurang daripada RM1 juta itu bertujuan memuaskan hati semua pihak memandangkan selepas pilihan raya umum 2004, terdapat pelbagai desakan oleh beberapa parti politik supaya SPR melaksanakan suatu kaedah bagi menyekat perbuatan yang dianggap sebagai penipuan dalam proses pengundian.
Abdul Rashid berkata kegiatan itu (mengecat kuku) dikesan berlaku terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman bagi menimbulkan kekeliruan dan syak wasangka mengenai status pengundi berkenaan.
“Mereka ini mungkin dianggap sebagai telah mengundi apabila datang pada hari pengundian. Selain itu, kemungkinan terdapat di kalangan pengundi yang terpedaya itu tidak keluar mengundi kerana takut dianggap telah melakukan kesalahan.
“Sekiranya pengundi-pengundi itu hadir mengundi, sudah tentu akan timbul keraguan di kalangan ejen calon dan petugas SPR mengenai status pengundi-pengundi berkenaan. Ini boleh menyebabkan tercetusnya kekecohan di tempat-tempat mengundi yang mungkin sukar dikawal jika berlaku secara berleluasa,” katanya.
Berikutan itu katanya SPR memandang serius keadaan itu kerana proses pengundian dan ketenteraman serta keselamatan awam tidak boleh sekali-kali dikompromi.
Jelaslah bahawa SPR tidak telus dalam menggendalikan pilihanraya umum yang akan berlangsung empat hari lagi. Benarlah kata Hishamuddin Rais, seorang penulis bebas,
“Jika pilihanraya boleh merubah, sudah lama ianya akan diharamkan”.
Dalam seronok berkempen untuk pilihanraya, jangan pula kita terlupa bahawa penipuan pilihanraya pasti ada. Jangan terkejut jika “mood” rakyat yang mahukan perubahan disambut dengan kekalahan demi kekalahan termasuk di kubu-kubu kuat atau kawasan-kawasan yang berpotensi menang.
Terbukti bahawa pengunaan dakwat kekal dan peti undi lutsinar adalah kosmetik semata-mata bagi memastikan rakyat terperdaya bahawa pilihanraya di Malaysia ini bebas dan adil. Penggunaan dakwat kekal adalah tidak wajib bagi pengundi dan sesiapa yang tidak mahu menggunakannya hanya perlu mengisi borang. Peti undi lutsinar pula menjadi tidak bererti apabila daftar pengundi tidak dibersihkan.
Daripada maklumat yang diterima, ramai anggota tentera yang berdaftar sebagai pengundi pos turut didaftarkan sebagai pengundi biasa. Selain daripada itu jumlah pengundi yang berumur lebih daripada 100 tahun berjumlah hampir 10,000 orang dalam daftar pemilih. Jika benar terdapat sebegitu ramai penduduk yang berumur lebih daripada 100 tahun di Malaysia, ia adalah satu rekod dunia.
Media cetak dan elektronik berat sebelah. Pendek kata padang tak sama rata. RTM yang dimilik oleh negara dijadikan mesin propaganda untuk parti Barisan Nasional.
Berikutan dengan perkembangan ini, tidak mustahil penipuan besar-besaran akan dilakukan oleh SPR untuk membantu BN menang besar dalam pilihanraya pada 8 Mac ini. Jika ini berlaku, jangan sedih dan jangan kecewa. Perhimpunan Raksaksa bagi membantah penipuan pilihanraya akan diadakan pada 9 Mac 2008, 8.30 pm di Pasar Seni (Central Market), Kuala Lumpur. Sila klik disini untuk maklumat berkaitan.

