Rakyat Perak gusar, Angkat Sumpah MB ditangguh lagi…

13 03 2008

Selepas Lim Kit Siang memohon maaf dan menarik balik boikot DAP terhadap majlis angkat sumpah MB Perak yang baru, PKR pula memprotes. PKR mengugut untuk keluar dari kerajaan campuran jika agihan exco tidak dibuat secara adil. Lihat berita dari Malaysiakini:

Angkat sumpah MB Perak ditangguh
Mar 13, 08 4:23pm

Upacara mengangkat sumpah menteri besar bagi kerajaan campuran pembangkang di Perak telah dibatalkan.

Majlis tersebut dijadual diadakan pada jam 4 petang di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Penangguhan itu diumumkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Seri Raja Mansor Raja Razman di Istana Iskandariah.

Tiga calon jawatan menteri besar telah mengadakan perjumpaan dengan pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah di Istana Kinta di Ipoh petang tadi.

Manakala upacara angkat sumpah dijadual pada jam 4 petang di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar.

Mahu jumpa semua Adun

Mesyuarat itu bermula jam 2.30 petang hingga 4.05 petang.

Sementara itu, difahamkan dalam perjumpaan dengan Raja Dr Nazrin Shah, wakil PKR, Jamaluddin Mohd Radzi, bagi pihak partinya, dikatakan telah mempertikaikan pemilihan Nizar sebagai menteri besar.

Ekoran itu, Malaysiakini difahamkan, Raja Dr Nazrin Shah telah mengarahkan mereka menyelesaikan terlebih dahulu isu pemilihan calon menteri besar itu, dan membatalkan upacara angkat sumpah hari ini.

Raja Dr Nazrin juga difahamkan mahu menemui kesemua 31 Adun dari DAP, PAS dan PKR untuk mendengar sendiri pendirian mereka masing-masing mengenai calon menteri besar.

Sementara itu, Istana Kinta dalam kenyataannya yang difakskan kepada Bernama memaklumkan bahawa penangguhan itu dibuat berdasarkan kepada perkembangan terkini yang menunjukkan DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS tidak mencapai kata sepakat yang ketara dalam penubuhan kerajaan campuran.

Kenyataan yang ditandatangani Setiausaha Sulit Sultan Perak, Datuk Abdul Rahim Mohamad Nor itu menyatakan Raja Dr Nazrin Shah bertitah supaya majlis angkat sumpah hari ini ditangguhkan.

Perkembangan terkini

“Berdasarkan perkembangan terkini, bahawa kelihatan DAP, PKR dan PAS tidak mencapai kata sepakat yang ketara dalam hasrat menubuhkan kerajaan yang stabil bagi negeri Perak Darul Ridzwan.

“Oleh itu Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja telah bertitah supaya angkat sumpah jawatan Menteri Besar Perak yang dijadualkan petang ini ditangguhkan,”.

Bagaimanapun kenyataan itu tidak menyatakan bila istiadat itu akan dilangsungkan.

Sementara itu, Setiausaha DAP Perak Nga Kor Ming berkata kesemua 31 Adun DAP, PKR dan PAS Perak hari ini diminta menandatangani surat persetujuan menubuhkan kerajaan campuran dan menerima
pelantikan Nizar sebagai menteri besar.

Katanya, Raja Dr Nazrin bertitah demikian kepada wakil tiga parti berkenaan yang menghadap baginda di Istana Kinta di Ipoh pada 2.30 petang tadi.

Menurut Nga, surat persetujuan berkenaan perlu dipersembahkan kepada baginda dengan menyatakan persetujuan bekerjasama dalam kerajaan campuran serta persetujuan sebulat suara menerima Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar.

Semalam kerajaan campuran DAP-PKR-PAS di Perak bersetuju untuk melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Panjang dari PAS, Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar yang baru.

Nizar juga merupakan setiausaha PAS Perak.

Salah faham selesai

Pengerusi DAP Perak, yang juga Adun Sitiawan, Ngeh Khoo Ham dan seorang wakil kaum India akan dilantik sebagai timbalan menteri besar satu dan dua.

Bagaimanapun, semalam DAP membantah pemilihan Nizar sebagai menteri besar apabila pemimpin veteran parti itu, Lim Kit Siang berkata pihaknya hanya bersetuju calon DAP atau PKR dilantik sebagai menteri besar.

Bagaimanapun, perkara itu nampaknya telah dapat diselesaikan dan Lim juga telah memohon maaf kepada Raja dan pemangku Raja Perak. Ngeh juga memberitahu pagi ini bahawa salahfaham itu telah diselesaikan.

Bagaimanapun, PKR pula membuat kenyataan mengejutkan bahawa parti itu akan keluar daripada kerajaan campuran di Perak jika agihan ahli exco tidak dibuat secara adil.

Difahamkan lapan daripada 10 jawatan exco diambil oleh DAP manakala baki dua kerusi diagih antara PAS dan PKR.

Teman-teman yang berada di Perak telah menghubungi saya dan menyatakan tentang kegusaran mereka. Jika pakatan pembangkang tidak dapat menyelesaikan isu pengagihan kerusi exco ini dalam jangkamasa terdekat, kemungkinan untuk melihat Perak dibawah pemerintahan baru akan gagal dicapai.

Kepada PAS, PKR dan DAP, selesaikanlah masalah ini secepat mungkin dan secara matang. Fikirkanlah nasib rakyat Perak yang telah “memperjudikan” nasib mereka demi untuk menyingkir BN yang sombong.





Pertelingkahan selesai: DAP batal boikot majlis angkat sumpah MB baru Perak

13 03 2008

Pertikaian mengenai perlantikan MB baru selesai. Lim Kit Siang memohon maaf diatas kenyataannya semalam mengenai pemboikotan perlantikan MB baru Perak.

Sila lihat berita dari Malaysiakini dibawah:

DAP terima pelantikan MB dari PAS

Salah faham berhubung isu pelantikan Menteri Besar baru Perak telah selesai, kata Pengerusi DAP Perak.

Berikutan itu, katanya, semua ahli Dewan Undangan Negeri (DAP) akan menghadiri majlis angkat sumpah Menteri Besar, Mohamad Nizar Jamaluddin dari PAS.

Upacara mengangkat sumpah akan berlangsung di Istana Iskandar, Kuala Kangsar pada jam 4 petang ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham kepada Malaysiakini pagi ini.

Ngeh yang juga Adun Setiawan dilantik Timbalan Menteri Besar I.

Manakala jawatan Timbalan Menteri Besar 11 akan dilantik dari kalangan wakil rakyat keturunan India.

Wakil rakyat PAS Mohamad Nizar Jamaluddin dilantik sebagai Menteri Besar Perak selepas gabungan DAP-PAS-PKR berjaya menawan Perak.

Mohamad Nizar, seorang jurutera, menang di kerusi Pasir Panjang dengan majoriti 4,474 undi.

Bagaimanapun, semalam, pemimpin DAP, Lim Kit Siang berkata pelantikan Nizar tidak direstui jawatankuasa eksekutif DAP.

Berikutan itu, beliau berkata, Adun DAP tidak akan menghadiri upacara angkat sumpah menteri besar hari ini.

Media arus perdana sekarang ini tidak henti-henti melagakan pakatan pembangkang yang berjaya menubuhkan kerajaan campuran dibeberapa buah negeri. Selain daripada itu, api perkauman cuba diapi-apikan. Diharap agar rakyat bijak dalam menilai berita-berita yang dimainkan oleh media arus perdana.