Laporan langsung dari Taiwan: Rakyat Taiwan akan menentukan nasib mereka esok
Tinggal lagi beberapa jam sebelum rakyat Taiwan menentukan nasib dan halatuju mereka. Esok bersamaan dengan 22 Mac 2008, rakyat Taiwan akan memilih siapa yang akan menjadi Presiden dan Timbalan Presiden mereka.
Hanya dua parti politik utama yang akan mengambil bahagian dalam pilihanraya presiden kali ini. Parti Kuomintang (KMT) dan Parti Demokratik Progressif (DPP) bersaing hebat untuk memastikan calon-calon mereka terpilih bagi memimpin Taiwan untuk lima tahun yang akan datang.

Penyandang jawatan Presiden dan Timbalan Presiden membantu kempen DPP di daerah Taoyuan.
Ma Ying Jeou mewakili KMT manakala Frank Hsieh mewakili DPP dalam persaingan untuk menjadi presiden Taiwan. Apa yang menariknya dalam pilihanraya presiden kali ini, rakyat Taiwan akan turut mengambil bahagian didalam dua pungutan suara (referendum).
Dua pungutan suara yang akan diadakan bersama-sama pilihanraya presiden kali ini adalah bertujuan untuk mengambil pendapat rakyat tentang masa depan Taiwan diperingkat antarabangsa.
KMT mencadangkan agar Taiwan kembali menyertai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dengan nama Republik China (Republic of China) manakala DPP mencadangkan agar Taiwan menyertai PBB sebagai sebuah negera merdeka dengan menggunakan nama Taiwan. Oleh yang demikian, dua pungutan suara diadakan bagi memastikan rakyat terlibat secara langsung dalam menentukan halatuju Taiwan.

Bendera PBB diarak oleh penyokong DPP sebagai simbol kempen untuk menyertai PBB
Ini adalah kerana, kedua-dua calon presiden tersebut mempunyai definisi yang berbeza mengenai identiti nasional. Bagi Frank Hseih, Taiwan adalah sebuah negara berdaulat yang telah memenuhi kriteria sebagai sebuah negara merdeka walaupun secara rasmi ianya digelar Republik China (ROC).
Menurutnya, peperangan diantara ROC dan Parti Komunis China telah lama berakhir dan ROC telahpun di”Taiwan”kan. Sebab itu beliau mencadangkan Taiwan menyertai PBB sebagai negara berdaulat.
Bagi Ma Ying Jeou hanya ROC yang berdaulat dan bukannya Taiwan. Beliau masih lagi dibebani dengan perang saudara diantara KMT dan Parti Komunis China. Diatas dasar ini, Ma telah dituduh sebagai agen China oleh lawannya dari DPP.

Ribuan rakyat menghadiri kempen pilihanraya KMT
Identiti nasional, keselamatan negara dan pemulihan ekonomi menjadi isu utama bagi rakyat untuk memilih presiden baru mereka.
Dalam pilihanraya parlimen (Legislative Yuan) yang dijalankan pada awal Januari yang lalu, KMT menyapu 81 daripada 113 kerusi yang dipertandingkan. Sementara DPP hanya mendapat 27 kerusi. Ini bermakna jika calon DPP menang sekalipun dalam pilihanraya presiden kali ini, beliau sukar untuk membuat apa-apa keputusan penting memandangkan KMT telah menguasai parlimen.
KMT lebih popular berbanding dengan DPP jika pilihanraya parlimen yang lalu dijadikan sebagai kayu ukur. Akan tetapi, krisis diantara China dan Tibet telah mengurangkan populariti KMT. Frank Hsieh bijak memanipulasikan krisis ini dan menyebabkan rakyat Taiwan takut mereka akan senasib dengan Tibet jika KMT menang.
Ma Ying Jeou takut dengan penurunan populariti KMT akibat krisis diantara China dan Tibet telah mengumumkan jika beliau menang, Taiwan akan memboikot Sukan Olimpik di China yang akan berlangsung tidak lama lagi sebagai satu protes dan solidariti kepada rakyat Tibet.

Letupan mercun memeriahkan kempen KMT di daerah Taoyuan
Apa yang menarik didalam undang-undang pilihanraya di Taiwan ialah semua rakyat yang berumur 20 tahun ke atas akan menjadi pengundi yang berdaftar secara automatik (Artikel 11, Undang-undang pilihanraya Taiwan).
Ertinya rakyat dipermudahkan untuk megambil bahagian didalam pilihanraya tanpa perlu bersusah payah untuk melayan kerenah proses pendaftaran.
Bermula jam 8 pagi, tempat mengundi akan dibuka. Rakyat Taiwan akan berpusu-pusu untuk memilih bakal presiden baru mereka. Setelah proses pengundian berlangsung selama lapan jam, pusat mengundi akan ditutup pada pukul 4 petang.
Diberitakan bahawa sistem pengiraan undi di Taiwan adalah antara yang terpantas didunia. Menjelang pukul 6 petang, rakyat sudah boleh mengetahui siapakah yang akan menjadi presiden mereka.
Sejauh manakah benarnya dakwaan bahawa sistem pengiraan undi di Taiwan antara yang terpantas di dunia? Kita lihat sahaja nanti.
Penulis kini berada di Taiwan sebagai seorang pemantau pilihanraya antarabangsa dari Asian Network for Free Election (ANFREL) bagi menyaksikan perjalanan Pilihanraya Presiden Taiwan 2008.















Selamat Memilih !
http://penamaya.wordpress.com