Disiarkan di Malaysiakini pada 19 Mac 2008.
Tinjauan yang dibuat di beberapa buah negeri sewaktu kempen pilihanraya umum lalu, menyaksikan “jentera BN” tidak bergerak seperti sediakala. Di Selangor, Terengganu dan Kelantan, kempen BN tidak sehebat pilihanraya umum 2004.
Rakan-rakan di Kedah, Pahang, Perak dan Melaka menyuarakan ”kerisauan” mereka mengenai perihal jentera BN itu. Bilik gerakan BN dikatakan kosong dan pekerja parti tidak banyak kelihatan.
Macam-macam teori dikeluarkan dalam menganalisis strategi Umno dan BN. Ada yang mengatakan jentera BN tidak bergerak kerena tempoh kempen kali ini agak panjang (13 hari). Malahan, ada yang berfikir bahawa BN telah membuat strategi baru yang tidak disedari pakatan pembangkang. Ramai juga yang percaya ketua bahagian Umno “menahan” peruntukan kerana mahu menggunakannya untuk pemilihan agung Umno yang bakal menjelang.
Tajol Rosli Ghazali mengesahkan teori yang pertama. Bekas menteri besar Perak itu - ketika ditanya oleh wartawan mengenai kelesuan kempen BN pada 1 Mac 2008 - dengan angkuhnya beliau berkata bahawa tempoh kempen pilihanraya terlalu panjang dan BN tidak memerlukan masa yang lama untuk berkempen.
“BN tidak perlu berkempen jika pembangkang tidak menabur fitnah. BN hanya turun untuk menjelaskan perkara sebenar bagi menangkis dakyah yang disebarkan pembangkang” katanya dengan penuh keyakinan. (Buletin Tengah Hari, TV3, 1 Mac 2008).
Mungkin kerana kenyataan ’sombong’ yang dikeluarkan oleh Tajol Rosli itu, rakyat Perak telah menghukumnya dengan memberikan undi kepada pakatan pembangkang yang akhirnya menyaksikan, buat pertama kalinya, menteri besar Perak dilantik daripada parti yang bukan Umno.
Faktor Anwar Ibrahim
Selepas 10 tahun, inilah pertama kalinya Anwar Ibrahim berkempen dalam pilihanraya umum. Walaupun usianya telah meningkat, kehebatannya berpidato, tidak dapat dinafikan. Saya sempat menyaksikan siri ceramah Anwar di Machang, Kelantan. Ribuan manusia yang majoritinya “berkopiah putih” khusyuk mendengar pidato politik Anwar. Mereka sesekali tergelak ketika Anwar berjenaka.
Di kalangan ribuan yang hadir itu, terdapat juga hadirin yang kelihatan seperti orang Umno. Untuk apa mereka datang, tidak dapat pula saya pastikan. Tetapi ada kemungkinan, orang Umno ini rindukan bekas timbalan presiden mereka.
Strategi Abdullah-Khairy membubarkan parlimen sebelum Anwar dibenarkan bertanding membawa padah. Tanpa mempunyai sebarang beban untuk “menjaga kawasan”, Anwar menjelajah ke seluruh negara. Jika Anwar dibenarkan bertanding, tidak mungkin beliau akan mempunyai banyak masa untuk bergerak sebegitu bebas.
Di setiap tempat yang Anwar pergi, pastinya dihadiri ribuan orang. Rakyat yang menghadiri ceramah Anwar terdiri daripada pelbagai kaum. Di sesetengah tempat, masyarakat Cina dan India kelihatan lebih ramai daripada orang Melayu.
Penerangan bekas menteri kewangan itu tentang bagaimana beliau akan menurunkan harga minyak jika pakatan pembangkang diberi peluang untuk mentadbir negara, mampu meyakinkan rakyat. Dengan fakta dan bahasa yang mudah, rakyat dapat memahami apa yang cuba diterangkan oleh Anwar.
Tahun lalu, dalam sebuah artikel yang ditulis oleh Jocelyn Tan di akhbar The Star, kumpulan “tingkat empat” yang diketuai menantu Pak Lah mengatakan bahawa Anwar bukanlah lagi satu faktor bagi Umno untuk menghadapi pilihanraya. Khairy, Norza Zakaria dan Zaki Zahid yang mendakwa mereka mewakili generasi muda di Malaysia, yakin generasi yang mereka wakili tidak terpengaruh dengan Anwar.
Kesombongan kumpulan “tingkat empat” sampai ke kemuncaknya apabila Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Norza Zakaria mencabar Anwar bertanding di mana-mana kerusi di Kuala Lumpur. Akan tetapi, Anwar tidak dapat menyambut cabaran itu kerana beliau tidak boleh bertanding dalam pilihanraya sebelum 14 April 2008.
Tidak lama lagi, “pantang” bekas timbalan perdana menteri itu akan berakhir. Jika salah satu kerusi parlimen di Kuala Lumpur dikorbankan oleh mana-mana ahli parlimen pakatan pembangkang untuk Anwar bertanding, beranikah Norza berdepan dengannya?
Gerila Siber
Pembangunan Multimedia Super Corridor (MSC) telah memerangkap pemerintah Malaysia. Rakyat Malaysia kini telah mempunyai satu ruang di mana mereka terdedah kepada pelbagai maklumat tanpa adanya sekatan.
Dahulu, maklumat boleh dikawal sepenuhnya oleh Umno-BN. Rakyat Malaysia hanya dapat membaca, melihat dan mendengar berita-berita yang disajikan oleh media arus perdana.
Dengan adanya internet, penguasaan terhadap maklumat telah berjaya dipecahkan. Portal media seperti Malaysiakini, Malaysia Today, Harakahdaily , KL Pos dan banyak lagi, telah menjadi media alternatif kepada rakyat Malaysia.
Tekanan dan cengkaman yang kuat pemerintah Malaysia terhadap rakyat, dengan menggunakan akta-akta tidak demokratik, telah malahirkan begitu ramai “gerilawan siber”.
Kelahiran gerila siber ini bertambah dari masa ke semasa sehinggakan pasukan “cybertrooper” tajaan Azalina Othman yang baru sahaja dilantik sebagai Menteri Perlancongan, tidak berdaya untuk melawan.
Tanpa disuruh, gerila-gerila siber ini telah melahirkan ribuan laman untuk “menyerang” pemerintah BN. Teknologi blog telah menyebabkan perang gerila siber menjadi semakin hebat. Kurang dari 3 minit, sebuah blog sudah boleh dimulakan.
Kalau tak percaya sila layari http://sopo-sentral.blogspot.com, anda pasti akan terperanjat dengan lahirnya begitu banyak laman blog “sosio politik” di Malaysia.
Serangan demi serangan dari pelbagai penjuru, akhirnya merebahkan BN di beberapa negeri terutama di bandar-bandar yang mempunyai akses kepada internet. Contoh yang terbaik ialah di Kuala Lumpur di mana pakatan pembangkang berjaya menyapu sembilan daripada 10 kerusi parlimen. Bandar Shah Alam yang selama ini menjadi kubu kuat Umno, jatuh kepada PAS.
Hala tuju Umno dan BN?
Walaupun hilang majoriti dua pertiga BN di parlimen, Abdullah Ahmad Badawi terus menjadi perdana menteri Malaysia bagi penggal kedua. Abdullah tidak menghiraukan desakan dan tuntutan yang mahukan beliau meletakkan jawatan.
Mukhriz Mahathir menjadi pencetus kepada gerakan dalam Umno menuntut Abdullah meletakkan jawatannya. Beliau mengikut jejak ayahnya yang menghantar surat kepada perdana menteri untuk mendesaknya meletakkan jawatan sebagai bertanggungjawab kepada hilangnya majoriti dua pertiga BN dan beberapa negeri kepada pembangkang.
Dr Mahathir pernah melakukan perkara yang sama selepas Perikatan kalah teruk dalam pilihanraya umum 1969 apabila beliau menghantar surat kepada Tunku Abdul Rahman.
Sebelum ini, Abdullah ketika diminta mengulas tentang surat Mukhriz berkata, beliau menyerahkan kepada Ketua Pemuda Umno, Hishamuddin Tun Hussein untuk mengambil tindakan. Namun, selepas mesyuarat pemuda Umno semalam, Hishamuddin berkata, Mukhriz tidak dikenakan sebarang tindakan dan menyerahkan balik perkara itu kepada Abdullah sebagai presiden Umno.
Kabinet baru yang diumumkan oleh Abdullah telah menyingkirkan separuh daripada muka lama, dijangka menyemarakkan pertembungan dalam Umno. Orang Najib Tun Razak telah terkeluar dari senarai tersebut. Kabinet baru ini dijangka membantu Abdullah dalam pemilihan pucuk pimpinan Umno yang akan datang, dan sekaligus mengekang kemaraan Najib.
Walaupun Khairy Jamaluddin tidak diberikan sebarang jawatan menteri, orang-orangnya telah berada “dalam” kabinet dan memegang portfolio penting. Contohnya, Wan Farid Wan Salleh yang dilantik menjadi senator, memegang jawatan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri. Sepupu kepada menantu PM, Shaziman Mansor pula dilantik menjadi Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi.
Barisan Nasional (BN) yang ditubuhkan oleh Tun Razak Hussein pada tahun 1973 sebagai satu formula baru selepas kegagalan Perikatan dalam pilihanraya 1969 kini sudah menunjukkan tanda-tanda sudah “expired”. Kemungkinan besar satu formula baru akan dirancang sebagai langkah untuk mengembalikan keyakinan rakyat.
Persoalannya ialah siapakah yang akan mengepalai formula baru ini? Sempatkah Najib mengikut jejak bapanya?









Siapa yang berkuasa, Pak Lah atau Raja?
Apabila berlaku ketidaksefahaman dalam perlantikan Menteri Besar di negeri Perlis dan Terengganu di antara Pak Lah dan Raja di negeri-negeri tersebut selepas pilihanraya umum ke 12 yang lalu telah membuatkan kita sebagai rakyat menjadi keliru, siapakah sebenarnya lebih berkuasa antara Pak Lah dan Raja.
Sahidan Kassim mendakwa yang dia telah mendapat surat kuasa dari Pak Lah untuk menjadi Menteri Besar Perlis tetapi Raja Perlis pula telah melantik Mohd Isa Sabu untuk menjadi Menteri Besar.
Apabila negara kita mendapat kemerdekaan dari Great Britain pada tahun 1957, negara kita telah menjadi sebuah negara Demokrasi Raja Berpelembagaan dengan mengambil Britain sebagai model dalam membentuk pelembagaannya.
Kalau mengikut perlembagaan Britain, Raja tidak boleh sama sekali mencampuri urusan politik negara, Raja hanya menjadi simbol ketua Negara dan tidak lebih dari itu. Kalau perlembagaan kita mengikut model Britain, ini bermakna tindakan Raja Perlis melantik orang yang tidak mendapat restu Pak Lah itu boleh dianggap telah ‘tersasar’ dari model yang diguna pakai di Britain.
Di zaman silam, kebanyakan negara didunia ini ditadbir berasaskan sistem raja, di masa itu raja adalah orang yang paling berkuasa dalam sesebuah negara. Nabi Daud dan Nabi Sulaiman adalah juga raja. Di hari ini sistem raja yang berkuasa penuh ini dipanggil sebagai monarki. Antara Negara-negara yang masih mengamalkan sistem monarki adalah seperti Brunei dan Arab Saudi.
Memang banyak kelemahan sistem raja monarki ini, kelemahan yang paling ketara ialah dalam penggantian raja yang telah mangkat. Dalam sistem beraja, raja yang mangkat tidak boleh digantikan oleh orang lain kecuali anak lelaki baginda yang paling tua. Kalaulah anak lelaki itu tidak baik dan tidak mempunyai kemampuan menjadi pemimpin sudah tentu akan memberi banyak masalah kepada rakyat dan Negara itu.
Atas sebab kelemahan-kelemahan yang ada pada sistem raja itulah manusia di dunia hari ini telah menolak sistem beraja. Akhirnya di masa ini tidak banyak lagi negara di dunia ini yang mempunyai raja. Di kalangan negara-negra ASEAN pun hanya Malaysia, Thailand dan Brunei sahaja yang masih ada raja.
Ada setengah negara terus membuang sistem beraja, tetapi ada setengah negara seperti Britain dan Malaysia telah mengambil jalan tengah, raja terus kekal menjadi simbol Ketua Negara tetapi mereka tidak boleh mencampuri urusan politik negara.
Pada zaman sekarang ini terlalu sedikit negara-negara di dunia ini yang masih mempunyai raja. Pernah dikatakan, dari sejumlah raja-raja yang ada di dunia hari ini, hampir separuh darinya adalah datang dari Malaysia. Apa tidaknya, selain dari Agong, kita ada sembilan raja yang ‘memerintah’ di negeri-negeri dalam Malaysia. Begitulah banyaknya bilangan raja-raja di Malaysia.
Di bawah amalan demokrasi rakyat diberi kuasa untuk memilih pemimpin yang mereka suka di kalangan mereka untuk memimpin mereka. Oleh itu pemimpin yang dipilih oleh rakyat itulah sepatutnya yang paling berkuasa untuk mentadbir negara dan memimpin rakyat. Oleh itu tidaklah ‘manis’ kalau raja menolak permintaan Pak Lah, kerana Pak Lah adalah pemimpin yang telah dipilih oleh rakyat secara demokrasi.
Sebagai sebuah negara demokrasi raja berpelembagaan, tidak wajar bagi raja untuk campur tangan dalam urusan politik negara. Dan Pak Lah yang kapasitinya sebagai Presiden UMNO mempunyai kuasa penuh untuk memilih siapa saja yang disukainya untuk menjadi Menteri Besar jika parti UMNO menang dalam pilihanraya di sesuatu negeri itu.
Nampaknya kredibiliti Pak Lah semakin tercalar bila raja telah ‘membelakangkan’ Pak Lah dalam perlantikan Menteri Besar Perlis dan Terengganu baru-baru ini. Sebenarnya sebelum ini pun Pak Lah yang selalu menekankan kredibiliti dan integriti dalam pentadbirannya telah tidak bertindak seperti apa yang dicakapkannya.
Bila berdepan dengan pihak-pihak yang mahukan beliau meletakkan jawatan ekoran prestasi BN merosot dalam pilihanraya umum ke 12 yang lalu, Pak Lah dengan tegas mengatakan dia tidak takut kepada sesiapa pun kecuali kepada Allah.
Tetapi semua orang tahu, pilihanraya umum ke 12 di adakan setahun lebih awal kerana untuk mengelakkan dari Anwar Ibrahim dapat bertanding dalam pilihanraya tersebut. Jadi ini sudah bertentangan dengan apa yang diucapkan oleh beliau yang hanya takut kepada Allah sahaja.
Pak Lah juga tidak mahu wujudnya kumpulan-kumpulan dalam UMNO atau ‘klik’ dalam UMNO seperti di masa-masa lalu, dan beliau telah berazam untuk menghapuskannya. Tetapi dari senarai barisan kabinet yang dilantiknya baru-baru ini, ramai menteri-menteri yang pro Najib telah digugurkan walaupun mereka menang dalam pilihanraya ke 12 yang lalu, sebaliknya orang yang dikatakan pro Pak Lah telah dilantik jadi menteri walaupun mereka tidak bertanding dalam pilihanraya itu.
Kenapalah Pak Lah menjadi takut kepada Najib? Adakah Pak Lah takut hilang kuasa dan ingin menjadi PM untuk beberapa penggal lagi? Kalau kita tak mampu melawan musuh kita maka kenapa tidak kita jadikan mereka sebagai kawan.
Pak Lah juga tidak mengecam orang-orang UMNO yang membuat demonstrasi jalanan di depan bangunan Komtar Pulau Pinang yang membantah kenyataan kontraversial Lim Guan Eng terhadap dasar DEB. Padahal sebelum ini Pak Lah orang yang paling keras mengecam demontrasi jalanan oleh Hindraf dan BERSIH. Malah beliau mengatakan demontrasi jalanan bukan budaya orang kita, apakah ia kini sudah boleh dijadikan budaya kita?
Walaupun Pak Lah mempunyai banyak polisi yang BAIK-BAIK untuk negara, tetapi kelemahan yang ketara pada beliau ialah beliau tidak ada keberanian. Mungkin ini ada hubung kait dengan sejarah politik beliau sendiri.
Pak Lah adalah satu-satunya pemimpin UMNO yang menjawat jawatan Timbalan Presiden dan Presiden secara lantikan bukannya secara bertanding. Oleh itu beliau tidak cukup latihan melalui proses untuk menjadi orang yang berani seperti pemimpin-pemimpin UMNO yang lalu. Oleh itu tidak hairanlah juga kalau beliau tidak cukup berani untuk berhadapan dengan raja.
Walaupun yang menentukan Pak Lah kekal di dalam Parlimen adalah rakyat di Kepala Batas sahaja tetapi untuk kekal menjadi Perdana Menteri Malaysia ia banyak bergantung kepada kepimpinan UMNO. Tidak hairanlah kalau Pak Lah memastikan orang-orang ‘kuat’ di dalam UMNO adalah orang-orang yang juga menyokongnya.
Sudah sampai masanya amalan demokrasi sebenar perlu disuburkan semula di dalam UMNO dari peringkat akar umbi hingga peringkat tertinggi kepimpinan, kerana dengan cara itu sajalah dapat mengembalikan kepercayaan orang ramai kepada UMNO dan dapat mengeluarkan pemimpin yang berani.
Tepuk dada tanya selera…biarkan siluncai terjun dengan labunya….
http://suara-aku.blogspot.com/