Republik Kata bersoal jawab dengan Fathi Aris Omar, wartawan kanan Malaysiakini.com dan juga pengarang buku bertemakan gerakan reformisme pemikiran Patah Balek: Catatan Terpenting Reformasi bersempena sambutan ulang tahun ke-10 peristiwa Reformasi 1998.
Wawancara ini disediakan awal 2008, menjelang pilihanraya umum ke-12 – sebelum “tsunami politik” mengubah lanskap hubungan BN-pembangkang di Malaysia pada 8 Mac.
Republik Kata (RK): September tahun ini, genap 10 tahun Gerakan Reformasi, yang telah menjadi petanda baru arus politik sehingga ada orang menyebut “saat-saat penakrifan baru”, atau the new defining moments, politik negara selepas Merdeka. Apakah anda bersetuju dengan kenyataan ini? Apakah yang “baru” itu?
Fathi Aris Omar (FAO): Ya dan tidak. Memang ada tanda-tanda baru kesedaran berpolitik dengan tema-tema baru muncul, khususnya semakin popular sejak era Reformasi 1998. Contoh mudah, tema-tema baru yang menjadi wacana politik Melayu seperti gerakan mansuhkan ISA, hak asasi dan juga penglibatan lebih ramai anak muda dalam politik pembangkang atau NGO.
Sebab itu saya selalu tegaskan, Reformasi 1998 itu tidak memadai kita lihat sebagai pertarungan politik Anwar Ibrahim dengan Dr Mahathir Mohamad. Di lapisan luar, memang kelihatan seperti itu, seolah-olah perebutan kuasa dua tokoh dalam Umno dan kerajaan. Itu sisi pandang makro, yang mudah ditafsir oleh banyak pihak.
Ada sisi pandang mikro yang sering diabaikan orang. Tetapi sebagai aktivis dan wartawan yang bergiat aktif pada waktu itu, saya suka mengetengahkan perspektif mikro. Supaya kita boleh nampak lapisan-lapisan analisis yang lebih luas, mendalam dan kompleks.
Kita ambil contoh mudah, siri-siri demonstrasi yang berlanjutan sejak Anwar dipecat sehingga aktivis-aktivis utama reformasi ditahan bawah ISA pada April 2001. Kita lihat tema-tema yang dibangkitkan mereka dan kita tengok penggerak-penggeraknya. Pastilah gejala ini baru dan khusus sebagai penanda aras lain dalam politik nasional.
Kita lihat kelompok-kelompok muda, walaupun sangat kecil, seperti Universiti Bangsar Utama (UBU), Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) atau Komunite Seni Jalan Telawi (KsJT). Jelas, mereka ini bukanlah orang Anwar, bukan kumpulan NGO atau aktivis-aktivis lama yang menukar baju organisasi.
UBU, KAMI dan KsJT memang kelahiran baru, yang wujud sebagai reaksi kepada dan by-product Reformasi 1998. Ada sesuatu yang mendasar dalam pemikiran politik telah berubah sehingga memungkinkan tenaga baru itu berjaya muncul. Soal daya tahan kumpulan ini, itu soal kedua, tetapi kelompok-kelompok ini telah menjadi “kampus baru” aktivisme politik kita.
Ambil satu lagi kumpulan, GMI atau Gerakan Mansuhkan ISA. Memang sudah ada kempen anti-ISA sebelumnya tetapi hanya Reformasi 1998 yang telah melonjakkan kesedaran anti-ISA sehingga menjadi tenaga baru untuk menyalakan kempen mansuhkan ISA.
RK: Apakah kita boleh sebut pergerakan Bersih, Hindraf dan fenomena blog politik juga satu penanda aras baru dalam politik nasional? Dan apakah sumbangan atau kaitan Reformasi 1998 dalam mencetuskan trend ini?
FAO: Ya, memang. Bersih, Hindraf, blog politik dan Malaysiakini.com itu semuanya penanda-penanda penting kesedaran baru politik nasional. Dan saya nampak ia suatu kesinambungan peristiwa Reformasi 1998.
Bersih dan Hindraf yang menggunakan kaedah mobilisasi massa ke tengah-tengah Kuala Lumpur sehingga sanggup berdepan dengan jentera polis jelas menunjukkan trend Reformasi 1998.
Orang nampak mobilisasi rakyat boleh membawa mesej kuat sesuatu hasrat politik. Orang mulai percaya bahawa berdemonstrasi bukan kerja menjerit sia-sia tetapi langkah politik yang berkesan sehingga cakap-cakap tentang “pilihan raya atau pilihan jalan raya” Hishamuddin Rais sudah tidak lagi terlampau asing di kalangan ahli-ahli politik pembangkang.
Malah, tema pilihan raya bebas dan adil yang dibawa Bersih ini memang produk langsung Reformasi. Ia bermula dengan usaha pemantauan pilihan raya umum 1999, walau tidak begitu menjadi. Sekarang sudah muncul Mafrel (Malaysians for Free and Fair Elections) dan Bersih – kedua-duanya menyuarakan tema baru politik ini dengan pergerakan yang jauh lebih sistematik.
Blog politik dan Malaysiakini.com jelas kesinambungan era laman-laman web Reformasi. Blog memang teknologi baru tetapi blog ala (kandungan) laman-laman Reformasi (1998 hingga 1999) sudah tidak ada. Yang muncul, media online seperti Malaysiakini.com yang meneruskan debat dan berita politik.
Dan juga blog-blog yang kritikal tetapi tidak takut menampilkan wajah pengendali-pengendalinya, misalnya Malaysia-Today, Rocky Bru dan kelompok All-Blog. Apatah lagi sebahagian besar pengendalinya berpengalaman luas dalam kewartawanan, matang (usia) dan mampu pula berbahasa Inggeris. Tetapi laman-laman Reformasilah pencetus pergerakan politik di alam siber di negara ini.
RK: Kalau begitu, luas sekali pengaruh Reformasi 1998. Jadi, kenapa perubahan politik, khususnya penyertaan dalam politik NGO dan pembangkang masih terbatas? Anak-anak muda, misalnya, masih ramai yang tidak peduli politik. Masih ramai anggota masyarakat yang takut-takut, enggan bersuara, sehingga menjadi majoriti bisu. Kita lihat nanti, misalnya, keputusan pilihan raya umum kali ke-12. Apakah ada kesan besar Reformasi 1998?
FAO: Saya kira, kita tidak boleh melihat gejala politik dengan linear (selanjar). Tidak ada proses sosial yang linear. Mesti ada simpang-siur proses perubahan, ada trend dan counter-trend. Ada paradoks dan conflicting trends. Dan kita jangan melihat perubahan besar semata-mata dengan mengabaikan perubahan incremental (sedikit-sedikit). Apatah lagi, kita bercakap sekarang dalam konteks membuka ruang politik atau pendemokrasian di sebuah negara yang makin kuat menekan.
Dua contoh gejala counter-trend itu ialah kemunculan pelajar pro-Aspirasi di kampus-kampus IPTA dan juga himpunan gerakan-gerakan agama (Islam khususnya) yang semakin lantang, dan juga sistematik, menampilkan sikap konservatifnya.
Walau sudah lama wujud AUKU dan kampus kita memang terbatas ruang politiknya tetapi gerakan pro-Aspirasi wujud akibat kebimbangan kerajaan pada sumbangan positif Reformasi 1998. Sebelum itu, kampus tidaklah seketat dan sekeras ini cengkaman Umnonya terhadap birokrasi, tenaga akademik dan siswa.
Malah, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) juga satu pakej baru untuk mengawal kesan-kesan positif era Reformasi. Begitu juga Puteri UMNO. Semuanya ini usaha mempolitikkan orang muda sebagaimana panggilan Reformasi 1998 telah berjaya menyeret anak muda ke kancah politik seperti lahirnya UBU dan KsJT.
Gerakan-gerakan agama yang muncul sekarang lebih lantang, dan lebih banyak label dan jaringannya, untuk menentang sebarang percubaan membuka tema-tema baru Islam yang sepadan dengan pendemokrasian seperti hasrat Reformasi 1998.
Gerakan agama kini menjadi medan penutupan fikiran dan medan menakut-nakutkan orang ramai pada tema-tema kebebasan, hak asasi manusia dan demokrasi. Seolah-olahnya gerakan baru NGO Islam ini ditaja oleh tangan-tangan ghaib kerajaan juga! Maksud saya, dalam usaha membasmi sisa-sisa kesedaran yang telah berjaya dicetuskan oleh Reformasi 1998.
Saya tidak mahu terperangkap dalam teori konspirasi di sini. Maksud saya, banyak anasir dalam masyarakat Melayu-Islam yang mula rasa terancam dengan perubahan-perubahan yang telah dan bakal dibawa oleh peristiwa Reformasi 1998.
Jadi, sama ada di pihak pembangkang Islam, NGO Islam atau pegawai-pegawai kerajaan dan juga pemimpin-pemimpin Umno tertentu yang mula panik atau muak dengan niat Reformasi ke arah kebebasan, kesamarataan, hak asasi manusia, perdebatan pelbagai hala dan keterbukaan fikiran.
Kita ambil contoh reaksi keras mereka terhadap IFC dan Artikel 11. Misalnya lagi, jenis-jenis buku yang semakin aktif diharamkan, sebahagian besarnya buku-buku ilmiah atau kesarjanaan yang boleh membuka mata pembaca dalam bidang pemikiran (agama).
Ini semua counter-trend kepada Gerakan Reformasi 1998 tetapi tema dan bahasanya kelihatan Islam. Asasnya bukan agama, tetapi kebimbangan pada arus kebebasan, kesamarataan, hak asasi manusia, perdebatan pelbagai hala dan keterbukaan fikiran.
Mereka takut pada tema-tema kebebasan, kesamarataan, hak asasi manusia, perdebatan pelbagai hala dan keterbukaan fikiran tetapi berselindung di belakang hujah agama. Kadang-kadang hujah sastera dan seni juga diolah untuk menentang tema-tema Reformasi 1998 ini. Lihat, misalnya, hujah penulis-penulis muda di Rumah PENA.
Contoh lain, memperkenalkan meritokrasi di IPTA oleh Dr Mahathir pada 2001 atau penilaian kembali DEB oleh Anwar melalui “Agenda Ekonomi Baru”. Orang Melayu-Islam, sama ada di pihak parti kerajaan atau pembangkang, tidak menyambut hangat dua idea ini kerana dianggap menentang status quo. Tetapi tema-tema ini memang niat awal Reformasi 1998.
RK: Orang mulai resah dengan tema-tema ini. Kenapa? Kemudian mereka akan menutup diri daripada berfikir dan enggan menilai kembali. Sebaliknya, jika boleh, jangan sekali-kali membenarkan orang lain (gerakan Reformasi) membangkitkannya lagi.
FAO: Ya, memang betul. Sebab itu mereka menyebut perkataan “kontrak sosial” dalam Perlembagaan sebagai langkah mematikan perbahasan. Ia dianggap “isu sensitif”.
Aktivis agama misalnya mula memperkenalkan ungkapan “hak asasi Tuhan” bagi menunjukkan banyak sisi serong hak asasi manusia (yang dikaitkan dengan ilham dan idealisme Barat). Ingat, “Barat” sebagai momok. Tetapi ini semua reaksi-reaksi terhadap arus besar yang muncul akibat Reformasi 1998.
Kita harus melihat begini: Era Reformasi 1998-2001 itu muncul bersama ketegangan politik. Jadi banyak isu tersedut untuk menjawab dan melawan tekanan keras tersebut.
Misalnya tema keganasan polis dan profesionalisme mereka. Itu tema Reformasi 1998 tetapi telah dirampas, di-hijack, oleh Abdullah Ahmad Badawi melalui suruhanjaya siasatan polis dan kemudian cadangan menubuhkan IPCMC.
Begitu juga tema kebebasan dan korupsi badan kehakiman yang juga idea Gerakan Reformasi. Sekarang baru kelihatan lebih jelas – walaupun saya percaya Abdullah menubuhkan suruhanjaya diraja (siasatan klip video VK Lingam) baru-baru ini untuk “membeli” undi semata-mata, bukan usaha tulus untuk mereformasikan badan kehakiman.
Era politik panas 1998-2001 itu menyebabkan keresahan yang mendalam di kalangan Melayu-Islam yang konservatif itu lambat muncul. Ia ada dan bergerak tetapi tenggelam buat sementara waktu. Politik kepartian (kepembangkangan) kelihatan mendominasi persaingan tema dan wacana pada waktu itu.
Tetapi sebaik sahaja gerakan ini dilembikkan melalui ISA dan kem Kamunting, maka bermulalah siri baru serangan tersebut, yakni memorandum PUM kepada Agong untuk menghukum dan menapis tulisan-tulisan yang dianggap menentang agama. Ia muncul seawal 2002 sebagai penanda aras baru sebelum muncul ACCIN atau Badan Anti-IFC (Badai).
Di satu sisi lain, gerakan untuk menuntut ruang dan kebebasan ini melancarkan Kempen Anti-Kawalan Moral (MPAMP) pada 2004 sehingga Artikel 11.
Maksud saya, di luar musim politik panas, ketegangan politik kepartian, maka muncullah politik ideologi atau aliran yang bersifat merentasi kumpulan dan kelompok. Pada asalnya tema-tema diskusi digerakkan untuk menentang pemerintah (Dr Mahathir) tetapi kemudiannya menjadi persaingan pemikiran dan budaya yang merentasi kaum, kelas, latar pendidikan dan parti politik.
Era 2002-2005 yang dianggap “resah” itu sebenarnya dilatari oleh semangat “kebebasan, kesamarataan, hak asasi manusia, perdebatan pelbagai hala dan keterbukaan fikiran” yang menjadi roh pergerakan Reformasi. Dan pergerakan Reformasi seumpama ini memang mudah menangkap aliran pemikiran atau ideologi yang merentasi kaum, parti dan kelompok.
RK: Maksudnya, ada kesan menurun atau kemerosotan arus Reformasi?
FAO: Ya …maksud saya reformasi pemikiran, bukan Gerakan Reformasi sebagai sesebuah kelompok, persatuan atau parti politik. Kita tidak akan nampak perubahan idea dan budaya politik jika kita mengurung analisis dampak Gerakan Reformasi seperti kita menganalisis PAS atau politik Anwar.
Perkataan “reformasi” ini sebagai label kepada sejumlah nilai hidup, gerakan kepolitikan, perkumpulan orang dan tema wacana yang bersifat merentasi kurungan-kurungan kelompok, persatuan atau parti politik. Perkataan “reformasi” telah menjadi setaraf dengan maksud “Islamis”, “liberal” atau “Marxis” – maksud saya, ia telah bertukar sebagai politik idea, ideologi atau budaya (fikiran).
Organisasi hanyalah kenderaan untuk mengenali, dan kenderaan untuk mengurus, manusia sahaja. Tetapi gejala “reformasi” atau ideologi “Islamis” itu memang melangkaui sesuatu organisasi. Ia adalah suatu pemikiran, reformasi sebagai usaha reformisme sebagaimana fundamentalisme atau Islamisme hidup daripada Islam.
Perkataan “reformasi” di sini sebagai maksud “kaedah berfikir” dan kaedah merumus isu-isu kenegaraan, kebudayaan, agama dan masyarakat.
RK: Bolehkah kita sebut Reformasi 1998 atau “reformisme” yang disebut tadi sebagai gerakan anti-Mahathirisme? Yakni, Reformasi bukan sahaja menentang tubuh Dr Mahathir Mohamad tetapi keseluruhan projek, idealisme, gerak politik, citarasa dan penggubalan undang-undang era 22 Dr Mahathir sebagai perdana menteri?
FAO: Ya, memang. Di satu sisi, Reformasi 1998 memang sejenis kebalikan Mahathirisme. Sebab itu saya sebut di awal tadi, Reformasi 1998 bukan pertembungan Dr Mahathir dengan Anwar semata-mata, bukan persaingan kuasa pengikut Dr Mahathir dengan kem Anwar. Bukan. Bukan itu faktor asas yang melatari motivasi dan wacananya.
Harus sentiasa diingat, sewaktu Anwar di dalam penjara, pengikut Anwar hanyalah sebahagian kecil daripada arus besar Reformasi 1998. Mungkin dalam parti Keadilan (sewaktu ditubuhkan pada 1999) dan di tepi-tepi jalan, masih ada pemimpin dan pengikut Anwar, khususnya daripada Umno.
Tetapi sebahagian besarnya, mungkin antara 60 hingga 70 peratus, penggerak demonstrasi dan pengemuka wacana era Reformasi 1998 bukan lanjutan Anwarisme Umno. Sebahagiannya digerakkan oleh aktivis NGO yang pelbagai latar belakang, termasuk kelas menengah kota dan bukan Melayu. Begitu juga peranan parti pembangkang seperti PAS dan PRM, bukan penerus citarasa Anwarisme Umno. Bukan.
Dan, menariknya, Reformasi 1998 bukan pertarungan kem-kem dalam Umno seperti Team A melawan Team B era 1987 hingga 1990 (pilihanraya umum ke-8). Reformasi 1998 adalah gerakan anti-kuasa, gerakan anti-negara. Negara di saat ini disimbolkan oleh Dr Mahathir (perdana menteri), Umno (kuasa politik berparti) dan institusi-institusi negara (polis, media dan mahkamah).
Dr Mahathir, Umno dan institusi ini dianggap “negara”. Maka penolakan dan perlawanan gerakan Reformasi 1998 adalah simbol penentangan terhadap elemen-elemen asas ini, unsur-unsur mendasar tentang sendi-sendi kenegaraan kita.
Mereka bukan menolak untuk membuangnya. Bukan sejenis revolusi. Reformasi 1998 sejenis gerakan evolusi reformisme kenegaraan. Ia hanya melihat dan mahu mencantas keburukan-keburukannya sahaja tetapi mengekalkan kebaikannya.
Misalnya, isu rasuah. Reformasi 1998 bukan mahu membuang BPR tetapi mahu BPR lebih berani, lebih bebas, lebih profesional menjalankan tugasnya kepada semua pihak, khususnya “ikan-ikan besar”. Begitu juga polis.
Reformasi 1998 bukan menentang polis atau menolak institusi kepolisan. Reformasi 1998 menentang sikap polis yang membelasah orang ramai dan sikap polis yang lengah-lengah dan tidak berani bertindak secara profesional, khususnya kepada pemimpin kerajaan dan ahli-ahli politik BN.
Misalnya soal kebebasan badan kehakiman. Reformasi 1998 bukan mahu menukar sistem mahkamah sivil kepada mahkamah syariah tetapi mahu menegakkan kembali imej bersih dan independen mahkamah sebelum tragedi 1988, yang diruntuhkan oleh Dr Mahathir.
Begitu juga sikap mereka terhadap kebebasan siswa dan kampus dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti, atau kebebasan media (Akta Penerbitan dan Mesin Cetak). Mereka mahu ruang yang lebih bebas untuk mengkritik pemerintah, setidak-tidaknya “sedikit lebih bebas dan dapat bernafas”, tidak seperti apa yang dilakukan oleh Dr Mahathir sejak 1981.
Jika anda kaji pindaan undang-undang yang dicipta oleh Dr Mahathir sepanjang era 1980-an, anda akan faham kenapa Reformasi 1998 begitu anti-Mahathirisme dan kenapa anti-Mahathirisme itu bersifat “gerakan anti-negara”, bukan sekadar anti-batang tubuh Dr Mahathir.
Reformasi 1998 berbeza dengan gerakan anti-Abdullah yang dicetuskan oleh Dr Mahathir, beberapa penulis blog dan penyokong Umno. Gerakan Dr Mahathir ini skopnya sangat sempit. Mereka hanya mahu membuang Abdullah dan juak-juak perdana menteri seperti Khairy Jamaluddin, anak-beranak perdana menteri atau kumpulan “tingkat empat”.
Mereka tidak menawarkan kritikan mendalam dan serius tentang institusi-institusi kenegaraan. Gerakan Reformasi 1998 tidak begitu. Reformasi menentang Dr Mahathir, Umno dan negara kerana ia menuntut perubahan menyeluruh daripada proses Mahathirisme yang melemahkan negara.
RK: Jadi, maksudnya gerakan Dr Mahathir sekarang menentang Abdullah tidak wajar disokong? Kalau kita sokong Dr Mahathir sekarang, apakah ini bermakna kita tidak lagi menyokong reformisme 1998?
FAO: Bukan begitu maksud saya. Reformasi 1998 telah mengemukakan pelan tindakan yang lebih menyeluruh daripada usaha Dr Mahathir menentang Abdullah hari ini. Reformasi 1998 terus-menerus menuntut peluasan ruang demokrasi, termasuk kebebasan mengkritik dan menegur perdana menteri dan presiden Umno.
Reformasi 1998 tidak fokus kepada individu atau juak-juak tertentu. Reformasi 1998 menuntut pembaikan dalam hampir semua bidang kenegaraan yang merugikan bangsa Malaysia.
Reformasi 1998 menuntut wacana baru, semakan semula, dan bahasa baru untuk mengukuhkan negara, misalnya hubungan antara kaum, misalnya pengagihan semula ekonomi, misalnya ruang demokrasi, misalnya peranan media (termasuk Internet) dan peranan kelas menengah.
Reformasi 1998 bukan sekadar gerakan politik seperti Dr Mahathir menyerang Abdullah.
Reformasi 1998 sebenarnya gerakan kebudayaan, gerakan pemikiran, gerakan wacana dan gerakan idea untuk merombak negara agar lebih menghargai demokrasi dan hak asasi warganya.
Memang gerakan reformisme di mana-mana pun melibatkan aksi politik tetapi aktivisme politik itu hanya saluran atau jalan untuk menjayakan sejumlah idea atau wacana yang dikempenkan.
Sebab itu, saya sebut awal tadi, Reformasi 1998 ini sudah menjadi gerakan “reformisme” pemikiran dan kebudayaan dalam bidang kepolitikan dan kenegaraan.
Maksud saya, Reformasi 1998 itu membuka jalan atau ruang untuk kita membentuk falsafah baru tentang politik Malaysia dan tentang ketatanegaraan Malaysia. Sebab itu ia bukan sekadar gerakan politik.
RK: Jadi, apakah reformasi seperti ini akan ada masa depan di Malaysia? Atau akan dikalahkan negara atau ditewaskan oleh penggerak-penggeraknya yang tidak faham arah tuju dan semangatnya?
FAO: Saya tidak optimis dan tidak juga pesimis dalam hal ini. Tetapi bagi saya, ringkas sahaja. Jika Reformasi 1998 dinilai sebagai gerakan pencetus “falsafah baru tentang politik Malaysia dan tentang ketatanegaraan Malaysia”, yakni gerakan pemikiran dan wacana baru, maka reformisme seumpama ini memberi harapan kepada Malaysia.
Jika orang menafsirkan Reformasi 1998 sekadar usaha-usaha menjatuhkan BN, sekadar merebut tampuk kekuasaan, sekadar menjadi perdana menteri, atau sekadar mengambil peluang ekonomi dan kedudukan politik (dalam kerajaan dan parti), maka proses selama 10 tahun ini akan sia-sia, tidak akan membawa kita ke mana-mana.
Saya jelaskan tadi, kedua-dua maksud dan tafsiran Reformasi 1998 ini berbeza dan membawa akibat yang berlainan. Terpulang kepada penggerak-penggerakanya, intelektualnya, penulisnya dan aktivis mudanya.
Ke mana mereka membawa arus Reformasi 1998, terserah kepada mereka. Tetapi jalan yang dirintis sejak 10 tahun lepas telah membuka kemungkinan untuk kita menggerakkan reformisme ketatanegaraan yang baru dan saya semakin optimis ia akan membuka (telah membuka!) mata banyak orang.
Jika anda membaca buku saya Patah Balek: Catatan terpenting era reformasi, atau buku Hishamuddin Rais, Pilihan Raya atau Pilihan Jalan Raya, atau buku Khalid Jaafar, Tumit Achiles, anda akan faham banyak lagi gerakan reformisme harus kita usahakan.
Kita harus terus menyuburkan idea, terus melatih bakat-bakat baru dan terus mengasak dengan gerakan politik yang lebih padu. Ketiga-tiga bidang ini (pemikiran, tenaga baru dan aksi politik) tidak boleh kita abaikan.
Ingatlah pesan saya, Reformasi 1998 itu ertinya gerakan pencetus “falsafah baru tentang politik Malaysia dan tentang ketatanegaraan Malaysia”, yakni gerakan pemikiran dan wacana baru.









Gerakan Reformasi 98 melahirkan ramai pejuang-pejuang perubahan yang selama ini mendiamkan diri, hanya memedam api kemarahan terhadap kerajaan zalim dahulu, kes DSAI mungkin pencetus, keadilan terhadap DSAI mungkin menjadi salah satu sebab, tetapi yang lebih penting isu DSAI membuatkan isu lain juga terbongkar. Apa yang terjadi hari ini, blog dan blogers, perhimpunan yang dikatakan haram, pejuang hak asasi manusia dan pengundi berani mati bermula dari Gerakan Reformasi 98. Betapa penting hari itu, sejarah keberanian rakyat Malaysia terserlah waktu itu …..
Rakan2
Jangan Lupa layari blog saya di http://khairilazuar.wordpress.com
bagi komen setiap artikel yang saya tulis. …ada artikel baru
Jangan lupa yg PKR ini hanya parti transisi dan akan pudar dan hilang dalam tempoh 5 tahun selepas memerintah. Yang pasti- kalau ada parti yang lebih releven dan mantat-ianya adalah parti PAS.
PKR hanya dapat memecahkan dominasi politik UMNO/BN dengan pendekatan Anwar Ibrahim dan Anwar Ibrahim seorang individu..bukan pendekatan PKR sebagai parti.Tak pernah ada satu suasana politik yg membawa pendekatan Kelab Penyokong Anwar sebagai alternative kepada parti. Bila pendekatan imej Anwar ini pudar-pasti PKR juga akan pudar..kalau tak pun akan dipudarkan oleh rakyat.Jelas-PKR tidak ada kepimpinan mantap untuk mengantikan Anwar dan biarapa pun cubaan PKR..tidak dapat PKR melahirkan seorang pemimpin yang hampir taraf dengan Anwar. Kenape? Inilah dia pasal PKR mengangkat Anwar ketaraf Dewa tanpa menyedari implikasi yang bakal mengugat pendekatan gerakan dan parti.
Anwar dan PKR takde kena mengena dengan aspirasi sebenar reformasi.Reformasi yg dimaksudkan adalah satu idea dan matlamat yg dibentuk dan didukung oleh rakyat dengan mengunakan isu Anwar sebagai simbolnya.
Sebenarnya…. bila saya baca dan renung semula apa yang Anak Halal tulis di atas ada juga kebenarannya…. Anwar lah yang memartabatkan PKR dan ANWAR lah PKR. Anwar jugalah satu-satunya individu yang berupaya menyatukan 3 parti untuk menjadi Pakatan Rakyat. Kerana dia jugalah PAS dan DAP kini boleh dikatakan rakan seangkatan.
Tapi apa jadi kalau tiada lagi Anwar? Apa akan terjadi pada alliance Pakatan Rakyat? Adakah ianya akan tetap menjadi parti yang gah? Siapa pula akan menjadi orang kuat PR??
Memang benar, adakah Anwar hanya satu simbol yang menjadi ikutan cult. Bukankah ini namanya politik berkonsep individu?
Saya mahu juga mendengar pendapat mereka yang lain mengenai hal ini.
Mamak rasa walau pun perjuangan PKR pada asalnya sekitar membela kekejaman terhadap DSAI yang mana hanya sebagai parti yang diwujudkan hanya semata-mata untuk membela keadilan seseorang!.Apabila DSAI dibebaskan pada tahun 2004 dengan serta merta Parti keadilan dapat sambutan daripada semua kaum di Malaysia.Dan dengan kebijaksanaan DSAI ia menjadi parti Federlisma!.Mamak yang berasal dari Penang memang jangka dan harap sinario politik Malaysia akan berubah terutama di Pulau Pinang.
Mamak sebagai rakyat biasa memang yakin dengan perjuangan parti keadilan yang luhur dan corak yang baru di mana diketepikan Racism/perkauman di sinario politik Malaysia.Memang itulah yang perlu buat untuk majukan negara malaysia sekiranya dunia yang tanpa sempadan sekarang.DSAI memang berani unjurkan perubahan ini terutama dalam kalangan orang melayu yang berpegang teguh kepada hak istimewa dan ketuanan.Bagi seorang ahli politik terutamanya di Malaysia memainkan isu perkauman adalah senjata utama bagi mencapai kejayaan dalam karier politik.Terutamanya orang-orang melayu yang menjadi ketua isu ini adalah yang paling terpengaruh.Seperti TDM,TMH,PM Malay Ultra ini memainkan peranan utama bagi pencapaian dalam UMNO kecuali DSAI yang pro ABIM atau pun Pro-Islam pada awal perjuangannya.Mamak masih ingat perjuangan beliau di Baling,kedah suatu masa dulu!.
Cuma apa yang mamak rasa tak selesa adalah selepas PR ini bolehkah orang Melayu dalam PKR yng rata-ratanya dari UMNO boleh memahami dasar dan pemikiran DSAI untuk berjuang bersama-sama dengan beliau?.Makin lama makin ramai pemimpin PKR Melayu balik kepangkuan UMNO!.Mereka ini mungkin tak faham dengan dasar perjuangan DSAI!.Kalau orang terapat pun tak faham bagaimana dengan rakyat yang biasa.Apa kah UMNO yang kini memerintah berdiam diri dengan tak menghamburkan segala Fitnah dan putar belit mereka untuk memesongkan rakyat?.Mamak bukan apa di Penang mamak dengar banyak rungutan penduduk Melayu selepas PR12 mereka lamsung tak bersua wakil rakyat PKR langsung?.Mereka hanya fikir yang memerintah Penang ini sekarang Hanya seorang Cina!.dan ada yang kesal mengundi pembangkang!.kenapa jadi begini?.
Jadi persoalannya sekarang adakah bekas pemimpin UMNO yang berada
Di PKR boleh anjak dari pradigma UMNO?.Adakah rakyat keturunan Melayu memahami perjuangan Parti yang baru (ia itu dari membela DSAI dari mengujudkan Federlisma).Bagi Mamak ada satu cara saja, gerakan kembali Biro penerangan di setiap pelusuk kampung untuk menentang dakyah UMNO yang telah merosakan mentaliti Melayu sekian lama.Terutamanya buatlah kunjungan ke tempat saudara Mamak Di Bandar PERDA Bukit Mertajam yang 100% Melayu.Himpunkan semua ketua-ketua penduduk beri penerangan!.Saudara Mamak itu marah benar PKR & PAS yang cuma duduk kat satu tempat je buat ceramah!.Buat macam Tabligh sekali boleh kumpulkan 12,000 dekat Masjid Perda!.Bukan apa Mamak bagi contoh je tak mahu orang kata hangat…hangat tahi ayam je!.Jangan gigit jari PR13 nanti…bagi Paklah 13 itu lucky nombor!Awas.
Salam hormat,
Menilai tulisan serta responds dalam tajuk ini semacam wujud pro dan kontra, khususnya yang berkaitan dengan wibawa dan karisma DS Anwar Ibrahim tentang peningkatan kekuatan reformasi yang terangkum dalam Pakatan Rakyat, lantas mengingatkan saya kepada tulisan saya yang pernah diterbitkan oleh TranungKite pada 13 Mei 2001 seperti berikut:-
Bukan mudah untuk mendapatkan pemimpin yang kepemimpinannya mendapat pengiktirafan cendekiawan antarabangsa. Sementelahan, cendekiawan antarabangsa selalunya mudah memberikan warna yang muram kepada pemimpin Asia apatah lagi pemimpin Melayu. Justeru, bangsa Melayu sewajarnya berasa bangga dengan kepemimpinan Dato Seri Anwar Ibrahim yang mendapat pengiktirafan cendekiawan antarabangsa sebagai ‘Tokoh Asia Baru, Lambang Kebangkitan Tamadun Timur dan Lambang Alaf Baru’.
Tenaga asas yang menggerakkan keyakinan cendekiawan antarabangsa mengiktiraf kepemimpinan Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai antara negarawan terbilang dan terulung dunia tidak lain daripada dinamika Gagasan masyarakat Madani, ketinggian akal budi dan kecekalan diri yang terpancar dalam kehidupan dan idealisme perjuangan beliau. Dalam buku Gelombang Kebangkitan Asia (edisi bahasa Melayu) 1997, Dato Seri Anwar Ibrahim telah mengutarakan dan menghuraikan konsep Masyarakat Madani di halaman 43 yang mendapat pujian cendekiawan antarabangsa sebagai gagasan besar yang melengkapi kehendak sistem politik yang adil, ekonomi yang menguntungkan rakyat dan sistem sosial yang wajar. Gelombang Kebangkitan Asia menyerlahkan kehebatan berfikir yang menyentuh pelbagai bidang - ekonomi, falsafah, kesusasteraan, peradaban, politik dan sosial yang relavan dan merangsangkan pemikiran masyarakat atau pembaca. Gagasan pemikiran yang mendasari Gelombang Kebangkitan Asia tidak mungkin mampu dihasilkan kalau bukan oleh seorang pemikir besar yang berjiwa besar dan berpandangan jauh. Justeru, gelombang Kebangkitan Asia tidak seperti buku Dilema Melayu yang hanya sarat dengan ungkapan KUNUNNYA, KUNUNNYA, KUNUNNYA sahaja.
Sesungguhnya, betapa kewibawaan kepemimpinan Dato Seri Anwar Ibrahim begitu meyakinkan cendekiawan antarabangsa bahawa beliau adalah tokoh pemimpin yang ditunggu-tunggu dan diharap-harapkan untuk mempelopori dan mengemudi kuasa pemodenan baru bukan setakat masyaraakat Malaysia, ASEAN dan Asia, hatta masyarakat antarabangsa agar lebih memahami convivencia sejagat dalam meniti masa alaf baru.
Malangnya, ramai penganalisis politik terkemuka diperingkat antarabangsa yang berpendapat bahawa Mahathir dan kuncu-kuncunya telah melancarkan ‘konspirasi politik terkotor’ untuk mengenyah Dato Seri Anwar Ibrahim daripada arena politik dan kerajaan kerana menanggapi buku Gelombang Kebangkitan Asia sebagai gagasan yang bukan sahaja mengusangkan (Standard Malaysia : Melangkah ke Hadapan) tetapi juga memungkinkan mahkota kekuasaan Mahathir dan kuncu-kuncunya umpama tergantung di hujung seutas benang.
Seseorang Islam yang tidak munafik akan percaya kepada kewujudan sahabat dan musuh yang kekal. Jalinan persahabatan Saidina Abu Bakar dengan Rasulullah dan begitu juga dengan sifat permusuhan Abu Lahab terhadap Rasulullah, kedua-duanya kekal hingga ke akhir hayat mereka. Seseorang Islam yang tidak munafik juga tidak mempersenda-sendakan hukum Islam yang jelas terkandung dalam al-Quran, tidak menghina Sunnah Rasulullah, tidak mencerca para ulama dan tidak menghasilkan fitnah sebagai senjata untuk menghancurkan pemimpin yang baik hanya kerana mempertahankan kepentingan nepotisme dan kronisme diri.
Justeru, Mahathir yang tidak percaya kepada kewujudan sahabat dan musuh yang kekal, yang tergamak mempersenda-sendakan hukum Islam, menghina Sunnah Rasulullah, mencerca para ulama dan yang menghasilkan fitnah busuk untuk menterbalikkan imej baik Dato Seri Anwar Ibrahim yang tersohor baik kepada imej buruk maka sudah tentu kearifan rakyat Malaysia yang setia kepada kebenaran dan keadilan mampu menilai taraf kemukminan Mahathir dan para kroninya. Malangnya, sejarah memberitahu kita bahawa ramai mukmin yang baik yang menjadi mangsa fitnah oleh orang-orang yang munafik dan terkutuk. Tun Mutahir, Hang Tuah, Hang Nadim dan Mahsuri (sekadar beberapa nama) adalah nama-nama besar dalam Sejarah Melayu yang menjadi mangsa fitnah oleh orang-orang yang munafik dan terkutuk tetapi tercicir daripada ingatan sebagai penyakit lama Melayu oleh sesetengah aktivitis politik seperti Rais Anak Yatim.
Saat ini, Dato Seri Anwar Ibrahim adalah mangsa fitnah busuk yang tidak berbangkai oleh Mahathir dan kuncu-kuncunya yang menggegarkan dunia. Tidak syak lagi bahawa Mahathir dan kuncu-kuncunya adalah orang yang sungguh-sungguh keparat dan munafik kerana telah memfitnah Dato Seri Anwar Ibrahim dengan cara menterbalikkan ‘imej baik’ beliau kepada ‘imej durjana’ bagi menghalalkan pemecatannya daripada semua jawatan yang dipegangnya dalam negara dan antarabangsa; kemudian memaksa rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa agar mempercayai fitnah busuk tidak berbangkai’ mereka dengan berkata : “Keseluruhan cerita mengenai tuduhan ke atas Anwar tidak difahami sepenuhnya oleh rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa”.
Mahathir dan kuncu-kuncunya adalah binatang yang bertopengkan manusia yang amat menjijikkan umat Islam dan masyarakat antarabangsa. Sebab itulah rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa bukan sahaja tidak percaya, bahkan menentang fitnah busuk tidak berbangkai’ Mahathir dan kuncu-kuncunya yang mereka alamatkan kepada Dato Seri Anwar Ibrahim. Justeru, Mahathir dan kuncu-kuncunyalah sekarang ini yang seperti ‘anjing kepala busuk’ kerana ‘takut kepada bayang-bayangnya sendiri’ lantaran diburu dosa.
Dalam membincangkan perjuangan pemimpin yang baik seperti Dato Seri Anwar Ibrahim memang amat menarik, meskipun dengan wujudnya penggagalan terhadap perjuangan beliau namun tidak menjadikannya kurang menarik kerana cabaran yang merintangi perjuangannya laksana seni mukaddas agung sebagai khazanah pedoman generasi mendatang. Sejarah manusia memang tidak pernah sunyi daripada kehadiran pemimpin yang berani mempertahankan keadilan, kebaikan dan kebenaran, sekalipun hidup dalam penyeksaan yang amat menyedihkan. Justeru, hanya pemimpin yang sungguh-sungguh beriman, berjiwa besar dan berpandangan jauh sahaja yang bukan sahaja mampu menghadirkan kejayaan, tetapi juga bersedia menghadapi penyeksaan demi mempertahankan prinsip keadilan, kebaikan dan kebenaran sebagaimana yang telah dialami oleh Jose Rizal, Dr. Burhanuddin Al-Helmi, Datuk Ahmad Boestamam, Dr. Syed Husin Ali dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sendiri.
Generasi Melayu hari ini amat bertuah kerana sempat menyaksikan hadirnya Dato Seri Anwar Ibrahim yang kepemimpinannya mempesonakan dunia dan ‘fitnah busuk tidak berbangkai’ yang ditimpakan ke atasnya menggegarkan dunia, dan pasti generasi mendatang akan menoleh ke zaman ini sebagai ‘kemuncak pengamalan prinsip kebangsatan’ oleh suatu parti politik dan kerajaan yang dipimpin oleh seorang Laknat dan terkutuk di negara ini.
Lidah memang tidak bertulang tetapi lidah Mahathir dan talibarutnya bercabang. Sebab itu, walaupun, maruah dan martabat “Mahathit dan talibarutnya sudah berkecai ekoran ‘kepecahan tempayan budunya’ namun lidahnya masih memujuk gundah-gulana dirinya sendiri dengan berkata : “Rakyat tidak lagi menyayangi Dato Seri Anwar Ibrahim - dan ia akan dilupakan dalam masa yang singkat”.
Ungkapan tersebut seolah-olah ada muslihat untuk mengajak rakyat ‘menghilangkan ikan dalam kerabu’. Namun, belum tentu ‘siapa terbilang dan siapa terbuang’ di hati rakyat dan generasi mendatang. Bahkan sekiranya pilihanraya adil dan telus di negara ini, nescaya gelombang keberangan dan taufan kemarahan rakyat terhadap Mahathir dan juak-juaknya akan dapat membuktikan bahawa ‘siapa yang menyemai angin akan menuai badai’. Semoga bermanfaat. Sekian.
“Aku berfikir, jadi aku ada (cogito ergo sum)”. Kata Descartes.
Wassalam.
Dah…Ezam dah jadi ejen propaganda UMNO?.Berita TV3 hari ini!.Alahai…apa nak jadi?.Belum sempat kita nak fikir ..Facts are stubborn things…DSAI is in Great haste make great waste!!!.Nothing venture,nothing have…!!!!!!!!!!!!!!