Bebas 13, tangkap lagi tiga…. Itulah Najib Razak

2009 April 17
by aminiskandar

Sebaik sahaja naik menjadi Perdana Menteri Malaysia yang keenam, Najib Razak membebaskan 13 orang tahanan ISA. Ramai yang teruja. Kononnya Najib Razak sedang nak melakukan Reformasi.

Tetapi ramai yang tidak tahu, selepas 13 orang dibebaskan, tiga orang lagi ditangkap. Hari ini, Gerakan Masuhkan ISA (GMI) ke Suhakam untuk menghantar memorandum bantahan mengenai penangkapan terbaru ini.

Zaman teknologi maklumat berkembang ni, bukan mudah macam zaman Mahathir dulu. Zaman sekarang sekejap je membohong rakyat dah tahu!!!

Lihat berita dari Malaysiakini dibawah:

Tiga ditahan ISA, terbaru 1 April
Abdul Rahim Sabri | Apr 17, 09 12:36pm


Walaupun perdana menteri membebaskan 13 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) baru-baru ini, tiga lagi ditahan bawah akta kontroversi itu sejak bulan lalu.Abdul Matin Anol Rahmat ditahan di rumahnya di Ulu Tiram, Johor pada 1 April, dua hari sebelum Datuk Seri Najib Razak mengangkat sumpah sebagai perdana menteri keenam.

Beliau ditahan bagi siasatan berhubung gerakan Jemaah Islamiah (JI), kumpulan pengganas di Asia Tenggara yang dikaitkan dengan al-Qaeda.

Abdul Matin mengikut jejak menantunya Zaini Zakaria yang meringkuk di kem tahanan Kamunting, Perak selama lima tahun sehingga 13 Februari lalu.

Agus Salim yang berasal dari Medan, Indonesia ditahan di sebuah restoran tempatnya bekerja di Larkin, Johor pada 5 Mac.

Seorang lagi Johar Hassan diura-urakan turut ditahan tetapi tiada maklumat lengkap mengenai penahanannya.

Menurut sumber-sumber jaringan JI, beliau dipercayai ditahan seawal-awalnya bulan lalu.

Maklumat ketiga-tiga individu ini didedahkan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) jam 11 pagi dalam satu aduan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI).

Mereka ditahan menurut Seksyen 73 (1) ISA untuk soal siasat selama 60 hari, kata NGO itu lagi.

“Penahanan ketiga-tiga mereka ini tidak diumumkan oleh polis atau kerajaan dalam mana-mana saluran media.

“Malah ahli keluarga juga belum berjumpa tahanan. Mereka digelapkan daripada sebarang maklumat tentang keadaan tahanan dan di mana ditahan,” kata pengerusi GMI Syed Ibrahim Syed Noh.

Turut hadir di pejabat Suhakam hari ini, ibu dan adik Agus yang tiba dari Medan.

Tiada komen lagi

Tinggalkan jawapan

Note: You can use basic XHTML in your comments. Your email address will never be published.

Subscribe to this comment feed via RSS