Semenjak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 dan tertubuhnya Malaysia pada 16 September 1963, rakyat tidak pernah merasai keseimbangan kuasa diantara kerajaan dan pembangkang.
Ini telah menyebabkan pemerintah seringkali membuat keputusan tanpa memikirkan terlebih dahulu apakah reaksi rakyat berkenaan dengan keputusan yang mereka lakukan.
Keadaan ini berlaku kerana sebelum ini, parti yang memerintah negara mempunyai kuasa dua pertiga di parlimen dan tidak ramai ahli-ahli parlimen daripada parti pembangkang berada dalam Dewan Rakyat.
Ini telah menyebabkan parti yang berkuasa begitu kuat tanpa ada apa-apa kuasa lain yang boleh menyeimbangkan mereka.
Apabila keadaan ini berlaku, parti yang memerintah tidak mempunyai “Check and Balance”. Segala keputusan yang mereka lakukan tidak akan dicabar atau dipersoalkan dan dapat dilakukan tanpa sebarang halangan.
Apabila sesuatu parti yang memerintah itu kuat, agenda rakyat seringkali dilupakan dan kadangkala menyebabkan kepentingan rakyat tergadai.
Contohnya ialah Dasar Penswastaan Negara (DPN).
Apabila DPN dilaksanakan dibawah pemerintahan Dr. Mahathir dahulu, banyak kepentingan rakyat mula tergadai.
Jika sebelum itu Elektrik, Air dan Pendidikan adalah milik kepada negara dan segala keuntungan daripadanya akan dibelanjakan untuk kepentingan rakyat, kini setelah diswastakan wang keuntungan daripadanya akan pergi kepada kroni-kroni yang dekat kepada kekuasaan.
Hari ini selepas PRU 12 yang lalu, senario politik negara telah berubah. Barisan Nasional hilang kuasa dua pertiga yang mereka punyai selama ini. Ahli-ahli parlimen pembangkang kini telah meningkat kepada 81 orang sementara terdapat seorang ahli parlimen bebas.
Apabila sesuatu kerajaan yang memerintah tidak kuat dan hanya mempunyai majoriti yang kecil di parlimen, rakyatlah yang akan menjadi tuan dinegara ini. LIhatlah bagaimana dalam tempoh sebulan, kerajaan telah menurunkan harga minyak sebanyak dua kali.
Kali pertama ialah sewaktu kempen pilihanraya kecil di Permatang Pauh dimana harga minyak diturunkan sebanyak 15 sen. Kali kedua harga minyak diturunkan sebanyak 10 sen bermula semalam.
Kerajaan terpaksa menurunkan harga minyak oleh kerana Pakatan Rakyat menerusi Anwar Ibrahim berjanji akan menurunkan harga minyak jika mengambil alih negara.
Janji Anwar ini popular dikalangan rakyat dan telah menyebabkan Barisan Nasional tertekan dan terpaksa menurunkan sedikit harga minyak agar tidak dilihat tidak mementingkan kepentingan rakyat.
Selepas penubuhan Malaysia pada 16 September 1963, tidak ada sesuatu upacara sambutan atau perayaan mahupun diberi cuti oleh kerajaan Barisan Nasional terhadap tarikh bersejarah itu.
Kerajaan Barisan Nasional lebih selesa memaksakan upacara sambutan kemerdekaan Semenanjung Malaysia (Malaya) kepada penduduk Sabah dan Sarawak daripada menyambut Hari Malaysia pada 16 September.
Ertinya, sebelum ini Sabah dan Sarawak tidak dianggap sebagai negeri yang penting bagi kerajaan Barisan Nasional walaupun hasil kekayaan negeri tersebut dinikmati oleh mereka.
Pakatan Rakyat yang memenangi lima negeri berjanji untuk mengambil kira kepentingan Sabah dan Sarawak jika berjaya mengambil alih kerajaan persekutuan.
Kata-kata itu dilaksanakan dengan tindakan. Pada 15 September, malam sebelum 16 September, Pakatan Rakyat mengadakan sambutan Hari Malaysia di Stadium Kelana Jaya.
Sambutan ini dihadiri oleh puluhan ribu rakyat termasuk dari Sabah dan Sarawak. Ini telah memberikan satu lagi tamparan hebat kepada kerajaan Barisan Nasional.
Selain daripada itu, kerajaan Pakatan Rakyat dibeberapa negeri bersetuju untuk mengazetkan 16 September sebagai hari cuti umum. Ini telah menyebabkan Barisan Nasional juga terpaksa mengubah dasar mereka agar dilihat relevan.
Semalam Shafie Afdal mengumumkan bahawa kerajaan BN bersetuju 16 September adalah hari Malaysia dan akan disambut di seluruh negara. Klik disini.Sekali lagi rakyat menang.
Setelah 45 tahun Malaysia ditubuhkan, baru hari ini Barisan Nasional mahu merayakan Hari Malaysia. Ini semua berlaku kerana BN sudah tidak lagi kuat dan mempunyai check and balance daripada Pakatan Rakyat.
Terbukti parti pemerintah yang menang tipis tidak boleh membuat sesuka hati mereka dan rakyatlah paling banyak mendapat keuntungan.
Rakyat kini harus pandai menggunakan kuasa mereka. Jangan biarkan lagi kita diperintah oleh sebuah parti yang menang besar.
Jika perlu, biarkan parti yang memerintah hanya menang dengan kelebihan satu atau dua kerusi sahaja. Dengan itu keseimbangan kuasa akan menjadi lebih seimbang.Tidak kira parti manapun yang memerintah, rakyat jangan beri mereka terlalu banyak kuasa. Jika diberi, rakyat juga yang akan merana.
Segala keputusan penting yang hendak dilakukan perlulah mengambil kira sentimen rakyat terlebih dahulu. Jika rakyat suka keputusan tersebut akan diteruskan. Jika tidak, terpaksa dibatalkan.
Inilah yang dinamakan dengan Kuasa Rakyat atau People Power.
Anda kini sudah melihat bagaimana kuatnya kuasa rakyat. Selepas ini konsep pemerintahan harus berubah dimana rakyat menjadi tuan dan pemimpin menjadi hamba.
Kita mampu lakukan. Anda hanya perlu percaya kepada KUASA RAKYAT!!!
Komen Terkini